Universiti Teknologi Malaysia akhirnya membenarkan kelas Mandarin dibuka seperti biasa setelah dibekukan semester ini dengan alasan ia perlu ditukar kepada kelas bahasa Inggeris dan dikendalikan oleh guru terlatih.

UTM memberikan kebenaran itu selepas dibantah oleh pelajar mulai bulan lalu.

Ekoran bantahan tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Mohamed Mansur Abdulah mengenakan dua syarat bagi membolehkan kelas itu diteruskan, iaitu ia harus diiktiraf oleh Fakulti Pembangunan, Pengurusan dan Sumber Manusia dan mempunyai tenaga pengajar yang terlatih.

Pada 21 Mac lalu, sekumpulan pemimpin pelajar menyerahkan satu memorandum bantahan bersama 3,760 tandatangan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Hon Choon Kim ketika beliau melawat secara mengejut ke kampus itu.

Minggu lepas, surat kebenaran untuk meneruskan kelas itu dikeluarkan oleh Mohamed Mansur.

"Dalam surat tersebut, dua perkara yang disenaraikan ialah guru penasihat kelas Mandarin, yang juga pensyarah Matematik, Encik Razipoh dikekalkan dan kelas itu akan dibuka semula semester depan," kata seorang pelajar, bagi pihak penganjur program itu, kepada malaysiakini hari ini.

November lepas, Naib Canselor Prof Mohd Zulkifli Mohd Ghazali menggesa kelas anjuran biro akademik Majlis Perwakilan Pelajar itu ditukar untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Kelas itu yang bermula sejak 1998 adalah kegiatan sukarela oleh 20 orang pelajar, sebagai guru, untuk memberikan khidmat asas mempelajari Mandarin.

Sejak itu dianggarkan lebih 500 orang pelajar, kakitangan dan pensyarah universiti telah menghadiri kelas itu dan 70 peratus daripada mereka bukan berbangsa Cina.