Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tanjung, di Pulau Pinang hari ini mendakwa pelbagai isu yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) kebelakangan ini membabitkan parti MCA.

Oleh itu, ketuanya Raja Munir Shah Raja Mustapha menggesa kepimpinan pusat BN supaya bertindak tegas menangani isu terbaru yang membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MCA yang tidak menyokong BN semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Katanya, banyak lagi perkara yang berlaku membabitkan MCA seperti kenyataan akhbar Setiausaha Biro Penerangan MCA Pusat yang didakwanya menghasut ahli MCA dan kaum Cina supaya membenci Umno, kononnya pemimpin Umno sengaja campur tangan dalam hal dalaman MCA.

Agensi berita nasional Bernama memetik beliau sebagai berkata, langkah tegas itu penting, terutama dalam persediaan BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Tindakan dan kenyataan oleh MCA seolah-olah ingin memecah-belahkan semangat kerjasama yang telah sekian lama wujud dalam keluarga BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tidak mengundi

Khamis lalu, dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dari MCA, Tan Cheng Liang (Jawi) ( kiri ) dan Lim Boo Chang (Dato Keramat) ( kanan ), bertindak berkecuali dalam undian mengenai usul pembangkang untuk menangguhkan perlaksanaan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR).

Dalam pengundian secara individu, 19 Adun BN menolak usul tersebut dan tiga wakil pembangkang menyokongnya, manakala Boo Chang dan Cheng Liang berkecuali. Lapan lagi Adun dipercayai berada di luar dewan ketika itu.

Raja Munir mendakwa sebelum ini, banyak lagi perkara yang berlaku membabitkan MCA seperti kenyataan akhbar Setiausaha Biro Penerangan MCA Pusat yang didakwanya menghasut ahli MCA dan kaum Cina supaya membenci Umno, kononnya pemimpin Umno sengaja campur tangan dalam hal dalaman MCA.

Sementara itu, Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Pulau Pinang hari ini menghantar notis kepada BN negeri supaya diadakan segera mesyuarat bagi membincangkan tindakan dua Adun dari MCA itu.

Pecat mereka

Pengerusi PPP Pulau Pinang, Datuk Dr Loga Bala Mohan, berkata notis itu dihantar kepada Setiausaha BN negeri, Datuk Seri Khalid Ahmad.

Katanya, PPP akan mengemukakan dalam mesyuarat itu nanti, usul supaya kedua-dua Adun berkenaan dipecat daripada BN.

"Atas dasar prinsip juga, PPP meminta mereka meletakkan jawatan sebagai Adun kerana sikap mereka itu bertentangan dengan semangat BN," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Pulau Pinang.

Katanya, mereka bertanding dalam pilihanraya lalu atas tiket BN dan jika mereka tidak dapat menegakkan dasar dan peraturan yang dibuat oleh BN, maka wajarlah meletakkan jawatan.

Dr Loga juga menegaskan bahawa mereka sepatutnya menggunakan forum lain untuk menyatakan rasa tidak puas hati, dan bukannya dengan menunjukkan sikap menentang di Dewan Undangan Negeri.

"Kalau mereka tidak puas hati, bagi maklum balas kepada exco dan bukannya mengambil keputusan sendiri. Lagipun, mengapa kedua-dua Adun itu perlu bising tentang Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang sedangkan kawasan mereka langsung tidak terlibat dengan pembinaan projek kerajaan persekutuan itu," katanya.

Dr Loga juga mendakwa sering mendapat aduan daripada Ketua Bahagian PPP Nibong Tebal mengenai sikap Cheng Liang yang selalu tidak menyokong semangat BN serta memberikan alasan yang tidak munasabah apabila mengambil sesuatu tindakan.