70 peratus Puteri Umno daftar undi
Lebih 70 peratus daripada kira-kira 340,000 anggota Puteri Umno di seluruh negara telah mendaftar sebagai pengundi, kata Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata gerakan untuk mendaftar pemilih sedang giat diadakan seluruh cawangan Puteri Umno bagi memastikan setiap anggota yang sudah cukup umur untuk mengundi berdaftar sebagai pengundi.
"Kita yakin sasaran kita mencapai sekurang-kurang 90 peratus anggota sebagai pengundi dapat dicapai menjelang pilihan raya umum akan datang, jumlah itu tidak akan mencapai 100 peratus oleh kerana ahli kita juga ada yang berumur 18 hingga 20 tahun iaitu belum layak untuk menjadi pengundi," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program "Sinar Kasih Puteri" di Pusat Terapi Alpha One di Kuala Lumpur hari ini, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pergerakan itu juga telah mendaftarkan kira-kira 20,000 anggota baru pada tahun ini.
Mengenai program itu, katanya golongan berpendapatan rendah, warga emas dan penghidap sakit kronik dari sekitar Setiawangsa, di Kuala Lumpur boleh mendapatkan terapi medan elektronik di pusat terapi itu secara percuma mulai hari ini.
Pusat terapi yang disediakan oleh Alpha One Sdn Bhd dengan kerjasama Puteri Umno melalui program "Sinar Kasih Puteri" itu merupakan program kebajikan bersiri pergerakan berkenaan dalam bentuk terapi kesihatan untuk komuniti setempat.
Rosnah berkata terapi percuma khusus untuk melancarkan pengaliran darah dalam badan itu sesuai untuk pesakit diabetes, strok, darah tinggi dan sebagainya.
"Tanggungjawab sosial yang ditunjukkan syarikat Alpha One ini diharapkan akan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk sama-sama menjayakan program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan seperti ini," katanya.
Orang ramai boleh mengunjungi pusat terapi berkenaan yang terletak di Centrum Setiawangsa, Taman Setiawangsa di sini pada setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam.
--Bernama

