Paya Indah tak boleh dipromosi jika terjejas
Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor mungkin tidak akan dipromosikan lagi sebagai produk pelancongan jika keadaan di kawasan tersebut terjejas ekoran aktiviti perlombongan pasir secara tidak terkawal berterusan.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata pihaknya hanya mempromosikan tempat-tempat pelancongan yang mampu memberikan tarikan kepada pelancong.
"Malaysia sememangnya terkenal sebagai negara yang mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik. Jika sesuatu berlaku yang boleh jejaskan tapak itu, atau mengadakan sesuatu (pembangunan) menyebabkan burung tak mahu datang, binatang dah lari dan tak ada benda nak tengok, siapa nak datang.
"Kita hanya mempromosikan produk yang kita rasa istimewa untuk diketengahkan. Jadi kalau sudah tidak ada lagi keistimewaan, kita tidak akan promosikan lagi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai aktiviti perlombongan pasir berhampiran taman rekreasi itu selepas pelancaran Karnival Jualan Mega Malaysia 2010 di Kuala Lumpur, hari ini.
Be
liau turut menggesa kerajaan Selangor supaya tidak lagi memburukkan keadaan di Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands kerana selain mengurangkan bilangan pengunjung, ia juga memberikan kesan buruk kepada habitat hidupan liar dan alam sekitar.
Dr Ng berkata kegiatan melombong pasir yang tidak terkawal di beberapa tempat di Selangor mendapat perhatian serius pelbagai pihak.
Kegiatan itu semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah, kira-kira 50 meter dari Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil yang juga rizab Tanah Lembap Negara, diceroboh untuk mendapatkan hasil tersebut sehingga mengancam sistem ekologi taman berkenaan.
S
ebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kegiatan melombong pasir berhampiran Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands itu adalah di bawah pengetahuan kerajaan Selangor dan dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Abdul Khalid bagaimanapun mendakwa kegiatan itu mempunyai permit yang sah dan lokasi sebenarnya terletak di Kampung Olak Lempit dan bukannya di Bukit Changgang.
Dalam pada itu, Dr Ng berkata pihaknya juga sedang mengkaji untuk memberikan pengiktirafan kepada pengusaha produk pelancongan mengikut sistem pengredan seperti lima bintang dan empat bintang bagi produk pelancongan termasuk wetlands, yang menjadi hala tuju kementerian.
Beliau berkata bagi pengusaha produk pelancongan yang berjaya diiktiraf dengan gred lima bintang, ia akan dijadikan contoh kepada semua pengusaha produk pelancongan yang lain supaya dapat meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan.
- Bernama

