Pelakon Benjy, yang kini ditahan mengikut undang-undang pencegahan dadah, menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus supaya dia dibebaskan daripada tahanan.

NONE Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Datuk Abdull Hamid Embong kemudiannya membatalkan rayuan itu.

Peguam Amer Hamzah Arshad memberitahu panel itu bahawa beliau menerima arahan daripada Benjy supaya menarik balik rayuan itu. Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan kepada mahkamah alasan di sebalik penarikan balik itu.

Pada 5 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan habeas corpus oleh Benjy, atau nama penuhnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, supaya dia dibebaskan daripada ditahan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Bagaimanapun, sehari sebelum Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop mengeluarkan perintah supaya Benjy

ditahan selama dua tahun di sebuah pusat pemulihan di Muar, Johor.

Pada 25 Mac, Benjy, 32, anak lelaki tunggal aktres veteran Azean Irdawaty, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24gm methamphetamine di sebuah rumah di A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B, off Jalan Segambut, di Kuala Lumpur pada 4 petang 11 Mac lalu.

Dia dibebaskan dengan jaminan RM2,000 beserta seorang penjamin tetapi selepas Azean membayar jaminan, dia ditahan semula kerana didakwa terbabit dalam pengedaran dadah mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

- Bernama