Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno lancar kempen 'Selamatkan Selangor'
Diterbitkan:  Jul 22, 2010 6:26 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Umno Selangor akan menganjurkan 19 program ceramah sempena program 'Roadshow' Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) bermula esok sehingga 8 Ogos depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata program ceramah itu merangkumi 19 bahagian Umno di negeri itu yang bermula dengan bahagian Shah Alam esok.

   

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, roadshow SSDE bertujuan untuk menjelaskan mengenai pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat terhadap rakyat di Selangor.

    

"Melalui program ini kita akan berceramah dan berkomunikasi secara terus dengan rakyat Selangor bagi menerangkan isu seperti penyelewengan pasir dan isu membabitkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.  

    

Noh berkata program SSDE fasa satu itu akan memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat Selangor mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan anggota pentadbiran, tadbir urus anak syarikat yang buruk dan isu peribadi serta moral pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, ketua penerangan Umno Selangor,  Abdul Syukor Idrus berkata dua ceramah dijadualkan diadakan malam esok di bahagian Shah Alam dan Kota Raja.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, ceramah di Shah Alam akan berlangsung di DUN Batu Tiga dan DUN Seri Andalas di bahagian Kota Raja.

ADUN Batu Tiga adalah exco kerajaan negeri Rodziah Ismail, manakala ADUN Seri Andalas diwakili oleh seorang lagi exco kerajaan negeri, A Xavier Jeyakumar.

Rodziah dan Xavier adalah dari PKR.

"Kesemua ceramah akan berjalan serentak pada jam 8.30 malam," kata Abdul Syukor sambil menambah tempat ceramah akan dimaklumkan kemudian.

Abdul Syukor yang juga ketua Umno bahagian Selayang berkata, selain Noh dan beliau sendiri, beberapa pemimpin Umno ditugaskan untuk menyampaikan ceramah dalam siri jelajah itu

Antaranya setiausaha Umno negeri Datuk Satim Diman, bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Nor, bekas pemimpin Pemuda PKR Zahid Mat Arip.

"Kami bergilir-gilir menyampaikan ceramah sepanjang minggu ini," katanya, yang juga ADUN Kuang.

Katanya, terdapat dua ceramah pada hari Sabtu, masing-masing di bahagian Kuala Langat dan Klang.

Manakala pada hari Ahad, ceramah akan diadakan di bahagian Kapar dan Kuala Selangor, tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS