Fauzi serah surat letak jawatan Adun Beserah
versi terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno bagi Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu hari ini.
Surat itu diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Fauzi memaklumkan hal itu kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di kediamannya di Kuantan. Ketika dihubungi malaysiakini petang ini di kediamannya, Fauzi mengesahkan berbuat demikian.
Dua hari lalu, beliau telah membuat satu aduan polis berhubung salah guna kuasa Setiausaha Agung Tan Sri Khalil Yaakob ketika pemimpin kanan Umno itu menjawat Menteri Besar Pahang selama 13 tahun. ([#1] Adun Umno adu 'penyelewengan' bekas MB Pahang [/#], 29 Mac)
Dalam aduan itu, Fauzi mendakwa Khalil memberikan kawasan pembalakan melebihi kuota yang ditetapkan oleh Dasar Perhutanan Negara walau sebagai menteri besar, beliau menganggotai majlis perhutanan yang menetapkan kuota tersebut.
Fauzi juga mendakwa dalam aduan yang sama tindakan Khalil itu "menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai" kerajaan Pahang sekarang.
Menurut laporan Sin Chew Jit Poh versi Internet (Sinchew-i.com) hari ini, Fauzi menjelaskan beliau hanya mendapati salah guna kuasa Khalil selepas menjadi Adun Beserah.
Selepas menjadi Adun lebih kurang dua tahun sejak 1999, baru beliau mendapati salah guna kuasa yang serius, laporan itu dipetik.
Laporan itu menyebutkan penyelewengan harta kerajaan negeri sebanyak RM300 juta hingga RM900 juta semasa Khalil menerajui negeri itu.
Beliau berkata, Khalil sepatutnya menjelaskan kenapa kawasan balak yang sepatutnya dibuka pada tahun 2000 hingga 2004, kini telah diteroka.
Fauzi berkata, beliau mempunyai bukti untuk membongkar maklumat dalaman ini. Beliau menambah, sebelum ini beliau hanya menjadi anggota Dewan Rakyat dan tidak memahami perjalanan kerajaan negeri sehinggalah dilantik sebagai Adun.
Hari ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau belum menerima salinan laporan polis yang dibuat oleh Fauzi.
"Kita nak tengok apa asas laporan polis itu, berasas ataupun tidak," katanya seperti dilaporkan agensi berita Bernama hari ini selepas menghadiri satu pertemuan dengan pemimpin Umno di Negeri Sembilan.
Khalil harus digesa gantung jawatan
Pengerusi DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa Perdana Menteri mengarahkan Khalil meletakkan jawatan sebagai menteri dan setiausaha agung Umno sehingga siasatan selesai dijalankan terhadapnya.
Lim bagaimanapun berkata tiada sesiapa pun menduga Dr Mahathir bersedia berbuat demikian kerana tindakan itu akan menjejaskan lagi imejnya yang sedia tidak popular.
Dalam sidang akhbar yang sama, sebagai Presiden Umno, Dr Mahathir juga mengingatkan ahli parti itu agar tidak menimbulkan masalah apabila tidak dicalonkan dalam pertandingan peringkat bahagian yang sedang berlangsung sekarang.
"Kalau kita tak dicalonkan, kita tak jadi calonlah," katanya seperti dilaporkan. "Sepatutnya kalau kita tak dicalon, jangan timbulkan masalah."
Menurut Bernama , Fauzi berbuat demikian setelah mendapati majoriti cawangan Umno di Beserah tidak mencalonkan beliau untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian Kuantan pada pemilihan bulan depan.
Fauzi setakat ini hanya menerima pencalonan daripada sembilan cawangan berbanding naib ketua bahagian Datuk Faisal Abdullah (29 pencalonan) dan Timbalan Ketua Datuk Wan Adnan Wan Mamat (20 pencalonan).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.