Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu hari ini berkata kemasukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah ke dalam MIC mendapat restu majoriti anggota parti.

NONE "Banyak anggota parti menerima keputusan itu termasuk dari kalangan ketua-ketua bahagian," katanya kepada Bernama sebelum merasmikan seminar Pendaftaran Pengundi Baru untuk ketua-ketua bahagian MIC di Kuala Lumpur.

MIC telah menerima permohonan bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Murugiah untuk menjadi anggota parti itu Khamis lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat sebilangan anggota MIC yang tidak berpuas hati dengan keputusan kepimpinan parti menerima permohonan Murugiah.

"Kalau saya kata semua anggota MIC menyokong keputusan itu ia merupakan satu pembohongan yang besar," katanya.

    

Murugiah menyertai MIC setelah dipecat oleh Presiden PPP Datuk M Kayveas tahun lalu dalam satu krisis perebutan jawatan presiden parti.

Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata beliau sedar ada sebilangan ahli parti di peringkat akar umbi tidak menyenangi langkah parti itu menerima keahlian Murugiah.

"Adalah biasa bagi mana-mana ahli memberi reaksi sama ada bersetuju atau membantah langkah seperti ini," kata Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.

Palanivel, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang menerima permohonan keahlian Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Samy Vellu percaya dengan satu lagi tambahan jawatan timbalan menteri dari kalangan pemimpin MIC, semua rancangan parti dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Ditanya mengenai cadangan Murugiah untuk membawa masuk seramai 200,000 penyokongnya menganggotai MIC, Samy Vellu berkata beliau tidak ada halangan terhadap perkara itu.

"Kita boleh menerima sebanyak manapun ke dalam  MIC...kalau lebih ramai, lebih bagus," katanya.