Chua terkejut bekas presiden MCA didakwa

   

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terkejut apabila dimaklumkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan dan bekas presiden parti itu Tun Dr Ling Liong Sik di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini.

    

Bagaimanapun, Dr Chua berkata beliau dan pemimpin MCA yang lain yakin Dr Ling akan mendapat perbicaraan yang adil mengikut sistem perundangan di negara ini.

    

Dr Chua hanya mengetahui berita itu ketika pemberita memintanya mengulas mengenai perkara berkenaan.

    

"Bila?... selain daripada beliau (Dr Ling), siapa lagi (yang didakwa)?" tanya Dr Chua kepada pemberita yang menemuinya selepas beliau melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Poi Lam di Ipoh hari ini.

    

Dr Ling, 67, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen, Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Beliau yang memegang jawatan menteri pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

    

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

    

Dr Ling merupakan individu kelima dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sementara itu di Kuala Lumpur, bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata kes pendakwaan Dr Ling tidak akan menjejaskan proses pemulihan dalam parti MCA.

    

Ong yang juga bekas menteri pengangkutan berkata adalah tidak adil untuk mengaitkan apa yang berlaku ke atas Dr Ling, yang menjadi Presiden MCA sejak 1986 hingga 2003, dengan parti itu sekarang.

    

"Rakyat ingin tahu hasil penyiasatan pihak SPRM dan polis. Ini adalah kepentingan umum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Undang-undang Malaysia ke-15 anjuran Majlis Peguam hari ini.

    

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda