Most Read
Most Commented
Read more like this

Pengaruh PAS bukanlah punca sebenar mengapa pelajar Malaysia di Jordan enggan bersalaman atau bertegur sapa dengan wakil Alumni Kelab Umno yang membuat lawatan di negara itu baru-baru ini.

Sebaliknya, sikap provokasi politik pemimpin Alumni Kelab Umno terhadap pelajar Malaysia adalah antara sebab utama mengapa mereka enggan bergaul dengan tiga wakil alumni berkenaan, kata presiden Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM) Mazrisyam Sharif.

"Maklum balas pelajar Malaysia di sana jelas menunjukkan mereka tidak senang dengan sikap provokasi politik yang ditonjolkan oleh wakil Alumni tersebut," katanya dalam temubual telefon dengan malaysiakini hari ini.

Mazrisyam diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan Timbalan Pengerusi Alumni Kelab Umno, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang PAS telah mempengaruhi pelajar Malaysia di Jordan.

Pada 26 Nov lalu, Berita Harian memetik Rais sebagai berkata pelajar Malaysia jelas dipengaruhi PAS kerana enggan menegur sapa dengan tiga wakil alumni itu.

Rais juga menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang "malang" kerana mendakwa kebanyakan mereka belajar dengan menggunakan wang zakat atau wang bantuan, dan seharusnya menumpukan kepada pelajaran dan bukannya berpolitik.

Provokasi politik

Rais serta dua lagi ahli alumni berkenaan - Malek Mohd Nor dan Prof Madya Mohd Hanafiah Harun- telah pergi ke Amman, Jordan minggu lalu untuk membuat tinjauan mengenai pelajar Malaysia di sana.

Mazrisyam juga berkata beliau sendiri menerima provokasi dari wakil alumni tersebut apabila menegur mereka sewaktu berada di kuliah Syariah, Universiti Mu'tah pada 25 Nov lalu.

"Saya terkejut apabila terdengar mereka berkata saya 'orang kerajaan' kerana menegur mereka manakala beberapa pelajar yang berkopiah putih yang mereka lihat sebelumnya, dituduh orang PAS kerana tidak menegur mereka," katanya

Beliau juga menafikan dakwaan Rais bahawa pelajar Malaysia di Jordan terlalu berpolitik dan tidak menumpukan kepada pelajaran.

Katanya, kebanyakan pelajar bebas dari pengaruh politik walaupun ada segelintirnya yang menubuhkan kelab parti politik.dan menidakkan kuasa Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) dan MPPM sehingga menimbulkan ketegangan di kalangan pelajar.

"Kelab politik yang ada di Jordan hanyalah Kelab Umno Jordan yang ditubuhkan beberapa tahun lalu. Kelab tersebut terbabit dengan provokasi politik dengan dibantu oleh pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK) dari Kementerian Penerangan Malaysia, Effendi Yusuf," katanya.

Wakil kerajaan

Apabila ditanya tentang dakwaan Rais bahawa pemimpin PAS sering membuat kunjungan dengan alasan menemui sanak-saudara atau mengadakan majlis perjumpaan berbentuk agama, Mazrisyam berkata, bukan pemimpin PAS sahaja yang membuat lawatan ke sana.

"Pemimpin parti pemerintah juga kerap ke sana sejak kebelakangan ini. Sejak Februari hingga November tahun ini, MPPM menerima sebelas kunjungan pemimpin dari Malaysia, di mana lapan daripadanya adalah wakil kerajaan," katanya.

Antaranya ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama, Datuk Zainal Abidin Kadir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Manakala kunjungan pemimpin PAS pula dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Abdul Hadi Awang dan ahli Exco Terenganu, Datuk Harun Taib.

"Kami meraikan kesemuanya, baik dari parti pemerintah ataupun parti pembangkang. Ini membuktikan pelajar-pelajar di Jordan mempunyai sikap terbuka dan selalunya akan menyambut kedatangan semua pemimpin Malaysia.

Tiada maklumat

"Persatuan-persatuan anak-anak negeri yang bernaung di bawah MPPM selalunya akan terlibat secara langsung dalam persiapan untuk menyambut pemimpin berkenaan setelah mendapat maklumat secukupnya dari Jabatan Penuntut Malaysia (JPM).

Ditanya mengapa MPPM tidak membuat apa-apa persiapan untuk menyambut wakil Alumni Kelab Umno, Mazrisyam berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai lawatan mereka.

"Pertemuan saya dengan mereka pun secara kebetulan apabila kami bertembung di kuliyah syariah ketika dalam perjalanan ke kelas. Kalau kami diberitahu lebih awal, tentunya kami membuat rancangan seperti biasa," katanya.

Sebagai contoh, katanya, MPPM merancang beberapa program untuk menyambut Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dijangka membuat lawatan ke Jordan pada 24 Dis nanti.

Perkara remeh

Pelajar Malaysia di Jordan mendapat tumpuan akhbar semenjak bekas pemangku Presiden Kelab Umno Jordan Amir Sharizat mendakwa beliau dipukul oleh sekumpulan penyokong PAS selepas mengikuti ceramah oleh Mentri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dakwaan itu dinafikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan Salman Zainal Abidin yang mengatakan bahawa persilisihan faham antara Amir dan sekumpulan pelajar dari Terengganu itu, tiada kena mengena dengan PAS.

Katanya, mereka menemui Amir untuk meminta penjelasan tentang SMS (sistem pesanan ringkas) yang mencaci Abdul Hadi yang disebar kepada pelajar Malaysia di sana.

Pada 18 Nov lalu, empat pelajar dihadapkan ke mahkamah Majistret Amman atas tuduhan menyerang dan kes itu masih berjalan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS