Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Empangan Chereh terpaksa lepas air
Diterbitkan:  Jul 30, 2010 4:10 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Empangan Chereh di Kuantan akan melepaskan sejumlah 475 juta liter air sehari bermula Selasa ini bagi tujuan keselamatan empangan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, paras air empangan itu kini telah mencecah paras 74 meter dan perlu diturunkan ke paras 70 meter.

Katanya pelepasan air dari empangan itu akan menyebabkan paras air di kawasan perkampungan Orang Asli Sungai Mas, Sungai Kuantan, Loji Air Sungai Lembing, Loji Air Panching dan Loji Air Pasir Kemudi meningkat ke paras 0.91 meter dan 1.21 meter, namun ia tidak akan menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata, pelepasan air itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mengambil masa tidak lebih daripada dua bulan.

"Tindakan ini bagi memastikan empangan berkenaan mempunyai ruang bagi menampung pertambahan kapasiti air hujan pada musim tengkujuh," katanya dalam sidang akhbar di Kuatan, hari ini.

Katanya, langkah itu juga sebagai persediaan menghadapi jangkaan fenomena "La Nina" yang membawa jumlah hujan yang tinggi dari bulan Ogos hingga Disember ini.

Beliau berkata pelepasan air berkenaan akan memberi sedikit kesan kepada air sungai yang akan mengalami perubahan warna dan bau selain pertambahan kandungan unsur besi dan mangan yang tinggi dalam air.

Air terawat dari loji berkenaan juga akan mengalami perubahan warna tetapi tidak akan memberi kesan kepada kesihatan orang ramai, katanya.

--Bernama

ADS