Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Tiada pihak ke-3 dalam kes Aziz
Diterbitkan:  Aug 4, 2010 7:19 AM
Dikemaskini: 11:12 AM

Polis masih belum dapat menentukan motif tembakan dilepaskan dalam kes kematian bekas ADUN Permatang Datuk Abdul Aziz Mohd Noh dan seorang pembantunya, kata ketua polis Selangor.

NONE Datuk Khalid Abu Bakar ( kiri ) berkata, buat masa ini pihaknya perlu memberi masa kepada keluarga allahyarham untuk memberikan kerjasama dalam menyiasat motif kes tersebut.

"Kita perlu memberi masa kepada ahli keluarga kerana mereka masih dalam kesedihan atas apa yang berlaku.

"Apabila keadaan sesuai nanti kita akan dapatkan kerjasama ahli-ahli keluarga, dalam kita menyiasat motif ini," katanya.

Semalam, Abdul Aziz, 64, dan seorang pembantunya, Siti Rohana Ismat ditemui mati dengan kesan tembakan dalam kenderaan ketika sedang memandu di Sungai Buloh.

Sepucuk pistol dilaporkan ditemui di tempat kejadian. Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menulis dalam laman Facebook beliau awal petang ini, Khalid berkata polis bagaimanapun telah menemubual saksi-saksi lain yang berkaitan.

"Beberapa kenyataan telah dirakam, kebanyakknnya daripada mereka yang berada/sampai di tempat kejadian, sewaktu kejadian," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama lewat petang ini melaporkan polis yakin tiada pihak ketiga terlibat dalam kes kematian Aziz Mohd Noh bersama bekas pembantu peribadinya semalam.

Khalid dilaporkan berkata siasatan pihaknya hanya menjurus kepada mengetahui motif sebenar tembakan dilepaskan (terhadap mangsa). 

Ditanya mengenai desas desus yang menyatakan bahawa kedua-dua mangsa mempunyai ikatan perkahwinan, Khalid berkata:

"Saya tidak mahu komen apa-apa tentang itu, biar kita siasat dulu.

"Kita kena hormati ahli keluarga dan jangan buat apa-apa spekulasi. Perkara yang mungkin membabitkan peribadi kita tidak akan sentuh," beliau dipetik sebagai berkata.

ADS