Tindakan dua wakil rakyat MCA yang tidak mengundi menolak usul DAP di sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bulan lalu, sepatutnya dipuji kerana mereka telah memperlihatkan kematangan dalam menegakkan demokrasi sepertimana yang diharapkan oleh pengundi masing-masing.

Sebaliknya, Lim Boo Chang (Datuk Keramat) dan Tan Cheng Liang (Jawi) ( kiri ) sepatutnya diberi kebebasan memanjangkan hasrat pengundi masing-masing yang tidak bersetuju dengan projek Projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR), kata Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar.

"Sehubungan itu, presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik tidak sepatutnya tunduk dengan tekanan mana-mana pihak, termasuk presiden Barisan Nasional (BN) sendiri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) kerana perbuatan mereka itu tidak bersalahan dengan prinsip demokrasi.

"Sebaliknya, sebarang tindakan ke atas mereka hanya akan terus menghakis demokrasi di dalam BN dan mematikan peranan wakil rakyat yang sepatutnya berfungsi sebagai faktor pengimbang dalam memutuskan perkara-perkara penting," katanya kepada malaysiakini .

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut bersimpati dengan Lim dan Tan kerana kerana dikenakan tekanan yang tidak wajar semata-mata kerana telah menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Apakah dengan menjadi wakil rakyat BN bermakna seseorang itu hanya boleh menjadi 'pak turut' tanpa mempedulikan suara rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka untuk bersuara di peringkat yang tertinggi?

Mandat

"Jadi, apakah makna menjadi seorang wakil rakyat BN sekiranya tidak dibenarkan memberi pandangan alternatif?" soal Mahfuz.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan sikap Dr Mahathir, yang juga presiden Umno, kerana tidak memberikan ruang untuk demokrasi wujud di dalam BN walaupun telah mendapat mandat lebih dua pertiga dalam pilihraya umum lalu.

Mahfuz berkata kedua-dua wakil rakyat itu sepatutnya dijadikan contoh oleh rakan seperjuangan mereka kerana kejujuran mereka dalam merealisasikan kehendak rakyat.

Tindakan Tan dan Lim mengambil sikap berkecuali sewaktu diadakan undi berhubung usul DAP supaya projek lebuhraya bernilai RM1.02 billion itu ditangguhkan, telah dikecam hebat parti komponen BN, termasuk mendesak MCA menyingkirkan mereka.

Tan dan Lim dijadual akan memberi keterangan kepada jawatankuasa disiplin MCA esok sebelum MCA membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan mereka dalam parti itu.