Intifadah. Anda tidak akan bertemu maknanya dalam kamus biasa bahasa Melayu. Bagaimanapun dalam kamus kerajaan Barisan Nasional dan Umno, intifadah suatu yang sangat bermakna dan berharga.

Ia sangat bernilai kerana boleh dieksploitasi menjadi momokan baru untuk menakutkan rakyat khususnya bukan Islam dan memburukkan Barisan Alternatif.

Setelah momokan tradisi - kehilangan hak istimewa Melayu atau rusuhan kaum pada 13 Mei - dan perkembangan reformasi di Indonesia tidak mendatangkan kesan, BN dan Umno kini mencari "hantu" baru yang boleh menakutkan rakyat.

Percubaan terbaru untuk mengingatkan rakyat kepada rusuhan kaum dan ekstremis agama dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam ucapan khasnya pada petang 28 November lalu - sehari sebelum pengundian bagi pilihan raya kecil Lunas.

Beliau mengingatkan rakyat tentang bahaya ekstremis agama dan cauvinis perkauman. Beliau menyebut tragedi 13 Mei dengan harapan dapat menakutkan pengundi Lunas, khususnya kaum Cina supaya tidak memilih calon Barisan Alternatif.

Usaha beliau gagal, rakyat Lunas tidak termakan dengan unsur-unsur ketakutan yang cuba diserapkan oleh Dr Mahathir. Batas perkauman diketepikan, Saifuddin Nasution Ismail diangkat masuk ke Dewan Undangan Negeri Kedah.

Kini kerajaan dan parti-parti komponen BN menekan butang panik. Isyarat dari Lunas cukup jelas. Kalau tidak masakan para pemimpin parti itu menggelabah, saling tuduh-menuduh antara satu sama lain sebagai punca kekalahan. Datuk Seri Samy Vellu malu besar dan "lari" dari Lunas.

Pemuda Umno pula bergolak apabila Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mahu meletakkan jawatan sebagai menerima tanggungjawab terhadap kekalahan di Kedah itu. Sehingga hari ini Umno masih mencari punca kekalahan itu sedangkan jawapannya ada pada Presiden parti.

Lunas mengajar Umno supaya tidak terlalu bongkak. Kini Umno tahu walau apapun perubahan yang dilakukannya, orang Melayu dan golongan muda tetap sukar untuk dipujuk.

Merenggangkan rakyat

Lantas ia menggunakan formula lama yang diberi nafas baru - iaitu merenggangkan rakyat khususnya orang Cina dari BA dengan mengembar-gemburkan bahaya intifadah. Perkataan Arab yang membawa makna "kebangkitan" akibat sesuatu penindasan (dalam konteks Palestin, penindasan regim Israel) cuba dicontengkan oleh BN dengan makna yang negatif dan mengelirukan.

Intifadah, atau kebangkitan rakyat, Palestin ini berkait terus dengan Islam. Oleh itu tanpa selindung lagi para pemimpin Umno menuduh PAS - dengan merujuk kerelaan Mahfuz Omar menghuni penjara Kajang - cuba mengimport pengaruh gerakan Palestin ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mendedahkan pihak berkuasa telah mengesan gerakan ala-intifadah Palestin di kalangan parti-parti pembangkang ekoran pembebesan Mahfuz pada 8 Disember lalu.

Beliau berharap dengan adanya momokan baru ini rakyat khususnya akan membenci BA khususnya PAS. Berkesan lagikah taktik ini?

Abdullah membuat dakwaan itu dengan merujuk pada tunjuk perasaan dan perhimpunan pengikut dan penyokong Mahfuz di Kajang pada hari pembebasannya.

Malang sekali bagi Menteri Dalam Negeri jika beliau benar-benar serius menyamakan perhimpunan aman penyokong BA di Kajang itu dengan kebangkitan Palestin yang saban hari melibatkan pertempuran maut dengan askar Israel.

Tidakkah luas perbezaannya antara perhimpunan aman di Kajang dengan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza. Amat menyedihkan dalam dunia maklumat pantas tanpa batasan, pemimpin negara masih menganggap rakyat begitu bodoh.

Rakyat tahu apa yang sedang berlaku di Palestin dan apa yang terjadi selepas pembebasan Mahfuz. Tiada siapapun yang melecet kulit lututnya, apa lagi cedera teruk atau terbunuh! Di mana logiknya berlaku intifadah ganas di negara ini?

Intifadah sebenarnya sedang berlaku dalam Umno kerana ahli-ahlinya sudah sedar dan sedang bangkit. Ahli Umno sedar siapa yang bermulut celupar dan kenal siapa yang berhimpun secara haram di Dewan Perhimpunan Cina Selangor hingga menyinggung perasaan orang Cina.

Ahli-ahli Umno tahu partinya semakin reput kerana pemimpin-pemimpin utamanya bagaikan anai-anai. Oleh itu sekarang mereka semakin berani menuntut reformasi dalam parti. Adam Hamid semakin berani, Shahrir Samad semakin lantang dan Abdul Aziz Sheikh Fadzir mahu Dr. Mahathir bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon Pemuda dalam pilihanraya umum 1999.

Intifadah sedang berlaku dalam Umno, bukannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau di Jalan Kebun.


AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih terbuka dan berkesan.