Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Pendapatan per kapita dijangka cecah RM49,500
Diterbitkan:  Aug 17, 2010 6:42 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Pendapatan Negara Kasar (GNI) diunjurkan meningkat hampir RM1.7 trilion (AS$524 bilion) pada 2020 daripada RM600 bilion (AS$188 bilion) pada 2009.

Ini sekaligus meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia daripada RM22,000 (US$7,000) kepada sekurang-kurangnya RM49,500 (US$15,000) pada 2020.

"Bagi memenuhi penanda aras negara berpendapatan tinggi seperti yang didefinasikan oleh Bank Dunia, ekonomi negara perlu berkembang 5.0 hingga 6.0 peratus antara 2011 dan 2020," katanya di dalam satu kenyataan selepas pertemuan dan lawatannya ke Makmal Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) di Kuala Lumpur hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejumlah dana lebih RM2.2 trilion (AS$690 bilion) diperlukan bagi tempoh Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“ETP akan menghasilkan pertumbuhan signifikan di dalam pasaran pekerjaan, peralihan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi dan pengukuhan asas kemahiran.

"Inisiatif di bawah 12 NKEA diunjurkan akan mewujudkan peningkatan 3.3 juta pekerjaan, di mana 63 peratus daripadanya di dalam segmen pendapatan pertengahan dan tinggi berbanding dengan 43 peratus sekarang ini. Sebanyak 46 peratus daripada pekerjaan baharu itu akan memerlukan kelayakan minimum vokesyenal atau diploma," katanya.

Semua 12 NKEA yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) ialah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.

Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya adalah sektor industri dan satu – Greater Kuala Lumpur – ialah kawasan geografi.

Sebanyak 92 peratus daripada pembiayaan NKEA itu akan disumbang oleh pelaburan swasta manakala bakinya melalui pembiayaan awam, yang konsisten dengan strategi menjadikan sektor swasta pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Najib berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) akan mencatatkan 75 peratus daripada pelaburan swasta dengan baki 25 peratus diperolehi daripada pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, DDI dijangka dibiayai oleh 12 peratus daripada lebihan antara simpanan dan pelaburan sebagai agihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Najib berkata, ETP adalah kemuncak kepada usaha membangunkan agenda ekonomi kerajaan, yang melaksanakan RMK10, Model Baru Ekonomi (MBE) dan prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan (1MPFPN).

Katanya, makmal NKEA membabitkan lebih 500 peserta daripada lebih 200 syarikat sektor swasta, kementerian kerajaan, agensi dan badan kawal atur serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Ia telah memuktamadkan perbincangannya pada 30 Julai dan menyerahkan cadangan penyelesaiannya kepada kerajaan," katanya.

NKEA adalah pemacu aktiviti ekonomi yang berpotensi menyumbang secara langsung dan material kepada jumlah yang besar kepada pertumbuhan ekonomi.

Makmal NKEA itu adalah lanjutan susulan kepada bengkel seribu-orang yang diadakan pada Mei, di mana satu konsensus terhadap sektor utama telah dicapai.

Najib berkata, NKEA telah mengenal pasti projek ikonik yang akan menghasilkan peningkatan GNI bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, di mana butirannya akan dikongsi dengan orang ramai semasa Hari Terbuka ETP pada September-Oktober ini.

Katanya, kerjasama yang belum pernah berlaku seperti ini antara sektor awam dan swasta telah mengenal pasti projek khusus dan peluang perniagaan yang didokong oleh 12 NKEA itu yang dimasukkan di RMK10.

ETP itu menandakan perubahan fundamental di segi pendekatan ke arah pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara maju pada 2020. Ia memberi fokus pada tindakan dan kandungan yang dibincangkan dengan baik dan secara khusus bagi mengembangkan setiap NKEA.

“Idea yang dicadangkan itu dimajukan melalui kerjasama rapat antara sektor swasta dan awam dan dalam beberapa kes, projek berkenaan mendapatkan komitmen kukuh daripada pelabur sektor swasta.

"Bagi memastikan penyampaian yang kukuh dan telus, Unit Transformasi Ekonomi (ETU) di dalam Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) diberi tanggung jawab menyampaikan dan memantau kemajuan berkenaan yang dipandu oleh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan tuntutan yang mendesak bagi setiap NKEA. Kunci kepada transformasi ekonomi itu ialah pelaksanaan dengan tepat dan ini kita perlu laksanakan," katanya.

- Bernama

ADS