Pemuda Umno, pelajar desak hapus kadar PTPTN
versi terkini Pergerakan Pemuda Umno dan pertubuhan pelajar hari ini menggesa kerajaan menghapuskan kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Pemuda menekankan agar kerajaan menurunkan (kadar itu) atau seboleh-bolehnya elok hapuskan kadar empat peratus tersebut," kata ketua biro pendidikan Pemuda Umno Dr Adham Baba kepada malaysiakini , sambil menambah keputusan ini dicapai dalam satu mesyuarat bulanan pergerakan itu pada 23 Mac lalu.
Pemuda Umno menghantar surat pendirian berhubung hal itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jam 3 petang tadi di Putrajaya.
"Surat ini dihantar agar kerajaan membuat tindakan segera dan supaya kerajaan membuat kajian semula terhadap kadar empat peratus itu," katanya lagi.
Menurut Adham tadi, surat ini akan dihantar oleh wakilnya dengan diiringi oleh sekumpulan ahli pergerakan itu.
Beliau menyifatkan pembayaran empat peratus itu membebankan pelajar dan pergerakan itu mencadangkan beberapa idea bagi menjaga kebajikan pelajar agar mereka mempunyai suasana yang selesa untuk belajar.
Sementara itu semua pemimpin majlis perwakilan pelajar (MPP) akan mengadakan satu pertemuan dan akan menyerahkan satu memorandum kepada Abdullah di pejabatnya di Putrajaya pagi esok.
Lima tuntutan pelajar
Pertemuan itu pada asalnya bertujuan membincangkan isu penubuhkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu. Idea penubuhan mula dikemukakan oleh kerajaan menjelang pilihan raya umum 1999.
"Memorandum ini mengandungi lima tuntutan yang disediakan oleh mahasiswa dari seluruh negara berhubung isu kadar pinjaman PTPTN," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Muhammad Faisal Abdul Rahman kepada malaysiakini .
Menurutnya, tuntutan utama yang dibuat termasuklah mengesa kerajaan menghapuskan kadar empat peratus itu dan menukar pinjaman PTPTN kepada kaedah pinjaman boleh ubah.
"Kami juga menuntut supaya PTPTN melanjut tempoh bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian iaitu dari tempoh enam bulan selepas tamat pengajian kepada satu tahun," kata Muhammad Faisal.
Tambahnya, pinjaman itu juga juga harus menepati kaedah pinjaman menurut Islam dan sistem pengurusan PTPTN digesa lebih cekap.
Bagaimanapun Pemuda Umno tidak menganggap kadar itu mempunyai unsur riba, apabila ditanya isu ini yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pelajar Islam sejak Januari lalu.
Muhammad Faisal pula berkata kadar pinjaman PTPTN itu masih belum dibuktikan lagi tidak mempunyai "unsur riba."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.