Pentadbir sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) di negara ini belum lagi menerima apa-apa kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan tentang penyerapan sekolah agama itu ke sekolah kebangsaan.

Wakil kepada tiga sekolah di Perak dan Kedah memberitahu malaysiakini bahawa mereka telah meneruskan sesi persekolahan memandangkan pihak kementerian tidak pernah menghantar sebarang kenyataan rasmi tentang proses penyerapan.

Mereka berkata maklumat yang mereka dapat tentang nasib SAR hanyalah yang diperolehi daripada kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan yang dilaporkan di media.

Seorang daripada mereka, Jurij Jalaludin berkata sekolahnya telah berjalan seperti biasa hari ini kerana pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada kementerian.

Pengetua tidak bergaji

"Selagi tidak dapat surat arahan muktamad, kami akan meneruskan pelajaran seperti biasa. Tetapi tiada siapa pun daripada kementerian membuat arahan untuk sekolah ditutup," kata Jurij, Pengetua Sekolah Menengah Agama Rakyat Dinniah Islamiah di Padang Rengas, Perak.

Oleh kerana bantuan per kapita kerajaan telah dihentikan, maka sekolahnya bergantung kepada yuran tahunan sebanyak RM150 daripada setiap pelajar dan juga bantuan ikhlas daripada orang ramai.

"Kami meneruskan operasi dalam keadaan serba minima dan kemiskinan. Guru-guru terpaksa berkorban. Guru graduan hanya menerima lebih kurang RM500 sebulan. Saya sebagai pengetua pun tidak bergaji," kata Jurij lagi.

Beliau menyeru pihak-pihak yang terlibat patut menimbang bahawa sistem SAR telah membuat banyak sumbangan kepada pelajar-pelajar Melayu terutamanya yang datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah sebelum membuat apa-apa keputusan muktamad tentang nasib SAR.

"Seperti sekolah saya, tiada anak doktor atau guru. Semuanya anak-anak yang ibubapanya berpendapatan rendah seperti buruh yang ingin memberi pelajaran agama yang lebih sedikit daripada sekolah kebangsaan biasa.

"Mereka tidak mempunyai masa untuk memberi ilmu agama yang sempurna dan di sinilah kemampuan SAR," katanya.

Kejayaan akademik

Beliau berkata SAR mampu mendidik pelajar-pelajar yang pada asalnya tidak begitu cemerlang, kepada tahap yang lebih baik tanpa mengabaikan aspek moral dan ilmu agama.

"Di sekolah kami, pelajar PMR terbaik mendapat 7A. Ini pelajar yang datang ke sini dengan keputusan UPSR 1A sahaja. Akan tetapi, contoh kejayaan seperti ini tidak pernah dilaporkan," katanya.

Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz, penolong kanan I Sekolah Maahad Al-Khair Lil Banat di Kamunting, Perak juga berkata pihak sekolah beliau telah pun memulakan sesi persekolahan hari ini kerana belum menerima apa-apa arahan daripada pihak kementerian.

"Selain daripada apa yang kami baca dan dengar dalam laporan media, tidak ada arahan lain. Bantuan buku juga telah pun kami dapat daripada kementerian dan kami akan teruskan. Lagipun kebanyakan ibubapa telah hasrat untuk meneruskan persekolahan anak mereka di sini," katanya.

Seperti sekolah Dinniah Islamiah, beliau berkata Maahad Al-Khair beroperasi dengan keadaan kewangan yang terhad dan terpaksa berjimat-cermat.

Walau bagaimanapun, beliau yakin sekolah itu akan terus beroperasi dengan pertolongan rakyat setempat untuk mengumpul dana.

"Kami akan mengadakan mesyuarat dengan orang-orang kampung dan ibubapa. Nampaknya kebanyakan mahu menolong sekolah kerana mereka rasa adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan sekolah ini berterusan. Mereka sayangkan sekolah ini kerana kampung mereka mendapat banyak manafaat daripada sekolah dan guru-guru yang juga memberi kelas bantuan untuk pelajar luar," katanya.

Penyerapan dipersoal

Beliau juga kurang faham dengan keputusan penyerapan sedangkan segala kurikulum pelajaran sekolah kebangsaan diikuti sepenuhnya oleh SAR.

"Kami sudah ikut saranan kementerian untuk menyatu-padukan subjek biasa dan agama supaya pelajar dapat menduduki peperiksaan sijil tinggi agama menengah (STAM). Jadi apa perlunya lagi kami diserapkan kepada sekolah kebangsaan kerana apa yang kami ada lebih adalah lebih dari sekolah kebangsaan?" katanya.

Seorang pengerusi sebuah SAR di Kedah, Akashah Ismail berkata bahawa keputusan kerajaan tidak langsung menggugat sokongan terhadap sistem SAR.

"Sekolah kami akan terus beroperasi. Walaupun kerajaan tidak lagi mahu menolong kami dari segi kewangan, kami mendapat sokongan moral dan kewangan daripada rakyat yang rata-rata mahu sistem SAR ini diteruskan," katanya.

Akashah juga kurang yakin sekolah kebangsaan yang sedia ada mampu dari segi prasarana dan akademik untuk menyerap SAR yang dapat menawarkan di antara 19-21 mata pelajaran mengikut kurikulum pusat dan kurikulum agama yang lebih khusus.

Beliau kesal dengan cara kerajaan mengendali isu SAR dan melihat segala keputusan sebagai bermotifkan politik dan tidak memikirkan masa depan masyarakat Islam.

Di samping itu, beliau mendakwa keputusan yang diambil adalah tidak berlandaskan perlembagaan.

"SAR adalah soal agama di mana sultan dan rajalah yang berhak membuat keputusan, bukannya kerajaan pusat," katanya.

Dua minggu yang lalu, Mufti Terengganu, Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir, telah berkata bahawa sultan dan raja mempunyai hak ke atas perkara yang berkaitan dengan sekolah agama rakyat kerana ianya didaftar dan diawasi oleh Majlis Agama Negeri yang diketuai sultan dan raja negeri masing-masing.

Pilih kasih

Kata Akashah lagi, "Kami sedih kerajaan bersikap double standard terhadap kami. Minggu lepas, tiga sekolah agama rakyat di kawasan saya dipanggil oleh pihak kementerian untuk mengambil silabus Matematik dan Sains. Yang juga bersama kami beberapa sekolah jenis kebangsaan Cina.

"Guru-guru sekolah Cina diberi laptop lengkap dengan perisian silabus baru. Dan apa yang kami (SAR) dapat? Lapan puluh muka kertas bertaip, itu sahaja. Tapi kami tabah dan dengan serba kekurangan ini kami akan teruskan.".

Apabila ditanya tidakkah beliau takut sekolah akan dipaksa tutup sekiranya kerajaan meneruskan cadangan penyerapan, Akashah berkata: "Saya lebih takut kepada Allah. Saya akan berjuang untuk memastikan sistem SAR ini berterusan supaya Islam akan terus berkembang maju."