Carrefour pindah dari Asia Tenggara tak mengejutkan
Langkah peruncit Perancis, Carrefour, untuk menutup perniagaannya di Asia Tenggara -- Malaysia, Singapura dan Thailand -- bagi menumpukan perniagaan di India, tidak mengejutkan, kata konsultan pengurusan perniagaan yang biasa dengan perniagaan peruncitan Asia.
Sawant Patil, yang berpangkalan di Mumbai, memberitahu bahawa angin perubahan itu berlaku kerana India mempunyai lebih satu bilion pengguna dan kumpulan pertengahan yang kaya yang semakin membesar yang "laparkan" barangan pengguna dan produk asing.
Carrefour, yang termasuk Carrefour Malaysia, dilaporkan mahu menyatukan perniagaan di sesetengah bahagian Asia Tenggara dan memberi tumpuan ke pasaran India yang semakin berkembang, yang turut menarik banyak lagi peruncit asing yang lain.
Bagaimanapun, anak syarikat Carrefour di India masih membisu mengenai rancangan masa depannya bagi negara itu.
Seorang jurucakap syarikat itu yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai rancangannya di India hanya menjawab: "Tiada komen."
Bagaimanapun, langkah memasuki pasaran India tidak mudah.
Penduduk India, yang lebih 1.2 bilion dijangka mengatasi bilangan penduduk China dalam beberapa tahun akan datang dan daripada bilangan itu, 350 bilion merupakan golongan kelas pertengahan yang merupakan pengguna yang dahagakan barangan pengguna.
Ini merupakan daya tarikan kepada banyak peruncit asing yang mahu berada dalam pasaran itu, walaupun mengetahui bahawa golongan itu kemungkinan terjerlus semula ke dalam kemiskinan jika berlaku satu krisis ekonomi yang besar di negara itu.
Selain berhadapan kesukaran mendapatkan tanah di bandaraya yang sememangnya sesak seperti Mumbai, Delhi dan tempat-tempat lain, dasar kerajaan India yang membenarkan peruncit asing turut menjadi halangan dan sekatan.
"Ia penuh dengan kerumitan," kata seorang ejen peruncit Jerman.
Peruncit terbesar di dunia, Wal-Mart dan Kumpulan Bharti India telah menjalin usahasama untuk membina kehadiran mereka di India dalan tempoh satu setengah tahun akan datang, dengan mewujudkan cawangan di beberapa negeri India seperti Karnataka, Andhra Pradesh, Madhya Pradesh, Uttar Pradesh dan Haryana.
Aktiviti kedua-dua rakan kongsi itu kini terhad di Punjab, walaupun ada sumber menyatakan syarikat itu merancang membuka 12 cawangan pada tahun depan.
Carrefour pula, yang dilaporkan telah mengambil alih hartanah bagi cawangannya di New Delhi, Bangalore, Chennai, Hyderabad dan Mumbai, telah
menjalin perjanjian dengan peruncit terbesar India, Future Group, bagi memudahkan kemasukannya ke negara itu.
Cawangan pertamanya dijangka dibuka di New Delhi bulan ini.
Selain peruncit barat, peruncit besar Asia dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura turut memerhati perkembangan itu dengan minat.
Kata-kata hikmat di kalangan perdagangan runcit ialah "Pergi ke India atau alami kepupusan", seperti yang dicanangkan dalam harian perniagaan India baru-baru ini.
Banyak syarikat peruncitan asing berhadapan dengan kejutan budaya perniagaan sebaik menjejakkan kaki dalam perdagangan peruncitan India kerana walaupun negara itu membenarkan pelaburan asing 100 peratus, ia terhad kepada perdagangan pemborongan.
India membenarkan pelaburan asing 51 peratus bagi peruncitan jenama tunggal tetapi tidak melayan sebarang pelaburan peruncitan pelbagai jenama.
Ini mengecewakan banyak syarikat peruncitan yang mahukan "kebebasan penuh" bagi beroperasi dalam perdagangan peruncitan, yang sehingga baru-baru ini terhad kepada perniagaan keluarga yang kecil atau gerai di bazar tradisional bagi membeli buah-buahan, sayur-sayuran dan produk makanan yang lain.
Jurucakap usahasama antara Wal-Mart dan Bharti Group berkata peruncit akan membuka banyak cawangan di negara itu jika peruncitan dibuka kepada pelabur asing.
Mengikut anggaran, India mempunyai jumlah perniagaan runcit US$450 bilion, di mana US$25 bilion sahaja dikendalikan oleh peruncitan yang teratur.
Dengan itu, adalah tidak mengejutkan kenapa Carrefour dan peruncit lain menutup perniagaan mereka di Malaysia dan tempat lain.
Malah, dalam sektor pemborongan, India menawarkan peluang yang baik kepada pelabur yang berusaha dalam keadaan kesukaran yang dikenakan oleh kerajaan.
Sebagai contoh, syarikat besar dari Jerman, Metro, yang telah mewujudkan lima cawangan Cash & Carry Metro di India kini sangat gembira mengenai operasinya, walaupun berhadapan isu besar pada peringkat permulaan, yang diketepikannya sekarang ini sebagai masalah kecil.
Peruncit Malaysia dan dari negara Asean yang lain juga boleh menimbangkan untuk membuka cawangan di India.
Sememangnya, golongan kelas pertengahan India dan China, bakal menggantikan pengguna Eropah dan Amerika sebagai pengguna global untuk menjana ekonomi global, demikian menurut kajian terbaharu yang dinamakan "Kebangkitan Kelas Pertengahan Asia" yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan Asia.
- Bernama

