Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang masih terbawa-bawa dengan isu pembinaan patung dewa Mazu dengan membangkitkannya dalam mesyuarat BN baru-baru ini walaupun perkara itu telahpun diselesaikan di mahkamah.

NONE "Sebagai pemimpin BN, kita seharusnya hadir ke mesyuarat dengan niat yang baik dan dengan tujuan untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan individu," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan  sumbangan hari raya kepada anggota pasukan beruniform di Kota Kinabalu hari ini.

Musa, yang juga pengerusi BN Sabah, mengulas kenyataan timbalan presiden LDP Chin Su Phin semalam bahawa parti itu tidak lagi dapat bekerjasama dengan beliau tetapi akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Umno.

Musa berkata mesyuarat BN itu amat berhasil dan dijalankan dalam suasana mesra.

"Kebanyakan pemimpin menyuarakan pendapat mereka mengenai isu kepentingan rakyat seperti dalam soal tanah dan isu pendatang," katanya.

Musa berkata kes mengenai patung Mazu itu telah diselesaikan di peringkat mahkamah tertinggi di negara ini.

Pada 26 Julai lalu, mahkamah persekutuan di Putrajaya menolak permohonan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga bekas presiden LDP, untuk merayu terhadap keputusan kerajaan negeri menarik balik keputusan membenarkan patung Mazu (dewa laut) setinggi 36 meter dibina di Kudat.

- Bernama