Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Muhibah 1Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 di Masjid Wilayah Persekutuan.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Majlis anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu turut dihadiri menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rais berkata majlis berkenaan dapat menimbulkan rasa kesyukuran di kalangan rakyat Malaysia atas nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi.
Kira-kira 3,000 tetamu terdiri daripada orang kenamaan, menteri Kabinet dan rakyat jelata turut serta pada majlis yang dimulakan dengan berbuka puasa diikuti solat Maghrib serta solat sunat Tarawih dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.
--Bernama
