PAS menyifatkan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk memajukan Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi kepercayaan untuk menerajui semula negeri itu sebagai hujah lapuk yang tidak mungkin mempengaruhi rakyatnya.

Ahli Parlimen PAS bagi Kubang Kerian, Husam Musa, berkata rakyat tidak mudah terpedaya dengan janji-janji pembangunan yang dibawa oleh BN kerana pakatan itu pernah memerintah Kelantan sebelum ini.

Husam berkata, janji-janji seperti membina universiti di negeri itu bukanlah perkara baru kerana ianya sudah lama disebut tetapi tidak pernah dikotakan.

Kelantan diterajui BN selama 12 tahun selepas pilihnraya umum 1978, tetapi tewas kepada PAS sejak 1990.

"Bukan sahaja universiti yang mereka (BN) gagal dirikan, malahan kompleks pasar yang ada sekarang pun terpaksa disiapkan oleh kerajaan PAS. Banyak janji-janji yang tidak mereka kotakan atau dibiarkan terbengkalai begitu sahaja," katanya.

Menurut Husam lagi, jika pembangunan fizikal merupakan impian rakyat Kelantan, tentulah mereka telah memberikan mandat kepada BN dalam tiga pilihanraya umum lalu kerana BN juga menjanjikan perkara yang sama.

Ketandusan modal

"Tetapi, rakyat negeri itu tetap mahukan pemerintahan kerajaan Islam pimpinan PAS," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai dakwaan perdana menteri bahawa Kelantan adalah negeri yang kotor dan buruk, Husam berkata dakwaan itu sengaja ditimbulkan kerana ketandusan modal.

"Mengapakah Kelantan tetap menjadi pilihan utama pelancong dari dalam dan luar negara, dengan lebih 1.6 juta pelancong setahun, termasuk 60 peratus dari dalam negara," katanya.

Mengenai janji Dr Mahathir untuk meletakkan pemimpin yang "ikhlas dalam perjuangan" bagi menerajui negeri itu, Husam berkata terpulanglah kepada pengundi sendiri untuk mengukur keikhlasan mereka.

"Rakyat di negeri ini tentulah yakin akan keikhlasan pemimpin di negeri ini kerana mereka berulangkali memberikan mandat kepada PAS," tambah beliau.

Menurut Husam lagi, kedatangan perdana menteri ke Kelantan turut memberikan gambaran bahawa pilihanraya umum adalah terlalu hampir.

Ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat di Kota Bharu, sempena lawatan dua harinya ke Kelantan, mulai semalam, Dr Mahathir berkata, BN akan melakukan perubahan besar dari segi pembangunan dan kemakmuran jika memenangi negeri itu dalam pilihanraya akan datang.

Menurut perdana menteri lagi, BN harus kembali memerintah Kelantan agar negeri itu tidak ketinggalan daripada negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN.