Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pemuda Umno mahu Malaysiakini diajar memahami soal sensitiviti
Published:  Jan 23, 2003 8:14 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Tujuan Pemuda Umno membuat laporan polis terhadap malaysiakini berhubung sepucuk surat yang didakwanya berunsur hasutan adalah untuk memenuhi tanggungjawab Umno mempertahankan orang Melayu, demikian menurut lidah pengarang yang disiarkan dalam laman web rasmi pergerakan itu.

"Siapa lagikah yang mahu mempertahankan orang Melayu kalau bukan Umno. Tidak mungkin kita dapat mengharapkan PAS untuk mempertahankan maruah orang Melayu," tegas lidah pengarang itu, di bawah tajuk ' Malaysiakini wajar diajar memahami soal sensitiviti'.

"Ahli-ahli PAS sendiri keliru dan tidak dapat memastikan sama ada mereka berketurunan Arab atau Melayu. Mungkin mereka takut hendak mempertahankan Melayu kononnya takut jadi `assabiyah', takut jadi sesat atau takut jadi `kafir' semata-mata kerana mahu mempertahankan maruah Melayu," tambahnya.

Dalam laporan polisnya pada 17 Jan lalu, Pemuda Umno mendakwa surat itu yang bertajuk 'Similarities between 'new Americans' and bumiputera' mempersoalkan hak istimewa orang Melayu dan mengandungi tuduhan-tuduhan palsu bahawa kerajaan tidak bersikap adil kepada bangsa-bangsa lain.

Di samping itu, pergerakan itu juga mendakwa, surat berkenaan juga menyamakan Pemuda Umno dengan kumpulan Ku Klux Klan di Amerika.

Siasatan

Berikutan itu, tiga hari kemudiannya, sepasukan anggota polis dari balai Dang Wangi menyerbu pejabat malaysiakini di Bangsar Utama dan merampas 15 CPUs (unit proses pusat) dan empat buah server bernilai RM150,000 untuk "pemeriksaan forensik".

Lidah pengarang itu juga mendakwa malaysiakini ketika ini cuba memutarbelitkan isu ini dengan mengaitkannya tindakan Pemuda Umno membuat laporan polis adalah kerana dikaitkan dengan isu Ku Klux Klan.

Bagaimanapun, dakwanya, surat tersebut menyebut lebih banyak lagi perkara yang boleh menyakitkan hati orang Melayu, dan Pemuda Umno hanya melakukan "apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang Melayu".

Lidah pengarang itu juga menyamakan situasi malaysiakini sekarang dengan perumpamaan Melayu yang berbunyi " Pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk walau sesaatpun" .

"Kita bangga kerana Pemuda Umno telah melakukan apa yang sepatutnya. Kita juga berterima kasih kepada pasukan polis kerana telah bertindak pantas menahan bahan-bahan bukti untuk membantu siasatan terhadap malaysiakini .

Debat

Menurut lidah pengarang itu lagi, oleh kerana Pemuda Umno tidak terbabit dalam proses perlaksanaan undang-undang, maka terpulanglah kepada pihak polis untuk menegakkan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara.

"

Semoga pihak polis dapat mengumpulkan bukti secukupnya dan dapat mengelakkan segala kesilapan dari segi prosedur kerana kita mahu individu terbabit dijatuhi hukuman sewajarnya," tegasnya lagi.

Ia juga mendakwa, sebelum surat itu disiarkan malaysiakini telah menyiarkan dua lagi surat yang menurutnya membawa nada yang sama.

"Orang Melayu dengan mudah boleh mematahkan hujah-hujah yang diutarakan oleh penulis surat tersebut. Kita boleh menghuraikan dengan jelas fakta-fakta sejarah dan pengiktirafan-pengiktirafan yang telah diberi oleh masyarakat dunia terhadap Kesultanan Melayu dan masyarakat Melayu.

"Malah sekiranya mahu, kita juga boleh mewujudkan laman web untuk memperdebatkan perkara ini dengan orang bukan Melayu. Bagaimanapun, apakah yang mahu kita capai dari perdebatan ini?

Apakah integrasi kaum dapat dicapai dengan cara sebegini? Perdebatan dalam isu ini hanya akan menyakitkan hati pelbagai pihak dan merosakkan lagi keharmonian di antara kaum," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS