mk-logo
Berita
Khir Toyo: Ada baiknya air percuma di S'gor

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan terus berhadapan masalah untuk menguruskan negeri selagi ia mengambil sikap bermusuh dengan pemimpin-pemimpin Umno, kata bekas menteri besar Datuk Seri Khir Toyo.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini , Khir berkata keadaan ini boleh dilihat dalam usaha kerajaan negeri menstruktur semula perkhidmatan air negeri yang telah diswastakan oleh kerajaan BN sebelumnya.

khir toyo interview 150910 Menurut Khir, pentadbiran kerajaan negeri kini juga lebih cenderung untuk membuat tindakan secara bersendirian tanpa melakukan perbincangan dengan pihak yang terlibat, seperti dalam masalah yang dihadapinya dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Bagaimanapun, Khir percaya kerajaan negeri akan menang sekiranya disaman oleh SYABAS, berhubung tuntutan pampasannya untuk melaraskan tarif air di Selangor.

Perkembangan ini merupakan rentetan daripada tindakan kerajaan negeri memberikan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada penduduk di negeri itu.

Khir memuji dasar negeri kebajikan yang diamalkan seperti itu, namun melihat pelaksanaannya seperti yang dijalankan sekarang tidak mencapai sasaran sebenar.

Berikut adalah sedutan daripada wawancara Malaysiakini dengan Datuk Seri Khir Toyo:

Sebagai ketua pembangkang, adakah datuk lihat apa-apa tindakan kerajaan negeri yang dianggap baik?

Langkah yang baik, sudah tentu. Saya beritahu, ada baiknya dia buat, umpamanya air percuma. Kalau perkara ini diteruskan dan tidak membantutkan ekonomi Selangor, bagus. Jangan sampai membantutkan ekonomi negeri. Yang lainnya (kebaikan) saya tidak nampak. Mana penerusan (dasar) kerajaan lama seperti beri bantuan kepada orang meninggal berusia 60 tahun ke atas? Masa BN dulu kita beri kepada semua tanpa perlu daftar. Kalau rakyat Selangor tinggal di Selangor, meninggal, pergi balai polis, bukti dia bayar RM1000. Hari ini dia bayar RM2,500 tapi kena daftar dulu. Kalau tak daftar tak boleh.

Bagaimana sistem bantuan ini diberikan sebelum ini?

Sebelum ini senang. Katalah bapa kita meninggal, pergi ke alamat dia betul, ketua kampung sahkan dia tinggal di kampung itu, pergi ke pejabat daerah lepas dapatkan laporan polis atas kematian tersebut, kita beri RM1,000 on the spot .

Tujuan kita adalah untuk meringankan bebanan pengurusan jenazah. Tapi sekarang kena daftar. Kalau tak daftar tak dapat. Itu satu. Kemudian, dia beri RM1,000 dulu lepas tujuh lapan bulan dia kumpul ramai-ramai beri ceramah politik bagi RM1,500 lagi. Ia tidak mencapai matlamat. Patutnya dia buka ruang luas kepada orang ramai daripada kumpulan yang didaftarkan saja. Saya ada bukti, kena isi borang parti tertentu dulu. Sebab itu tak ada orang datang daftar. Nak dapat RM1,000 mahasiswa kena tanya dulu...

Apa bukti yang boleh dikemukakan untuk dakwaan ini?

khalid ibrahim selangor water Di kampung ramai yang beritahu. Tapi (kerajaan negeri) tetap nafikan. Bukti yang paling mudah ialah pemilihan nazir masjid di satu kampung di kawasan saya. Orang yang dapat nombor tiga dipilih jadi nazir. Yang dapat undi terbanyak tidak dapat jadi nazir. Ini jadi contoh, belum banyak lagi saya dedahkan. Kita akan begerak (pededahan) perlahan-lahan. Saya ada kesemua maklumat. Sebab itu tugas kita kali ini adalah tegur dahulu biar dia betulkan. Kalau dia tidak betulkan kita akan keluarkan bukti kesemuanya. Saya dah bangkitkan dalam DUN.

Bagaimana pula dengan masalah kerjasama dengan SYABAS untuk lakukan kalibrasi ke atas meter air di pangsapuri? Ini menyebabkan penghuni tidak dapat nikmati air percuma.

Ini masalahnya mereka buat sesuatu tidak berbincang dulu. Kita tidak boleh buat sebab kos untuk bagi meter individu di flat ini kosnya memakan dijangka lebih RM1 bilion saya rasa. Dia kena fikir sebelum laksanakan. Tak bolehlah buat sebab hendak popular tapi akhirnya menghadapi masalah.

Kenapa SYABAS nampak enggan untuk bekerjasama dalam isu ini?

Masalahnya sekarang, adakah SYABAS bertanggungjawab untuk memasang paip baru di rumah pangsa? ataupun SYABAS hanya bertindak untuk menyalurkan air kepada rumah flat? Sekarang tanggungjawab siapa nak buat paip baru di rumah flat ini?

Kalau ada meter individu lebih mudahkan dia. Kerajaan negeri suruh SYABAS pasang paip, pasang meter tanpa paip dalam bangunan tidak penuhi apa-apa tujuan. Soalnya siapa hendak (pasang paip) baru dengan meter individu dalam bangunan ini. Itu persoalan yang patut ditimbulkan.

Adakah SYABAS langsung tidak mahu kerjasama dengan kerajaan?

Saya tidak tahu. Kalau SYABAS langsung tidak mahu kerjasama dengan kerajaan, dia tidak bijaklah kerana dia perlukan kerajaan Selangor.

Jadi pertikaian politik tidak timbul?

Tidak ada masalah apa. BN pertikaikan kenapa rumah persendirian, landed property dapat pengurangan 20 peratus sedangkan rumah flat tidak dapat. Kita tegur dia. Rumah flat ini berapa orang tidak dapat (air percuma)?

Adakah disebabkan pengerusi SYABAS itu juga pemimpin Umno negeri?

khir toyo interview 150910 Business is business . Kalaulah kita jadi ahli Umno dan kerajaan daripada PKR, (tanggapan itu) tidak betul. Meniaga ini meniaga, parti itu parti. Mana boleh kita buat sekali macam tu. Itu kita kena bezakan.

Masalahnya sekarang ini PKR dan PAS melihat Umno sebagai musuh. Itu masalah dia. Kita tidak pernah menganggap PAS sebagai musuh sebelum ini dengan PKR. Berapa ramai ahli perniagaan mereka kita beri peluang perniagaan. You are creating your own enemy . Dia takut dengan bayang-bayang sendiri ini masalahnya.

Bagaimana dengan rancangan SYABAS untuk kemuka saman kepada kerajaan negeri berhubung tarif air?

Kerajaan negeri boleh menang. Biar SYABAS saman, kita ada klausa khas. Kenapa kerajaan negeri hendak besarkan isu (sedangkan) klausa itu jelas? Jika SYABAS gagal turunkan (kadar air tidak berhasil) NRW di bawah 20 peratus, dia tidak boleh naikkan harga air.

Perjanjian antara SYABAS dengan kerajaan negeri dulu, bukan saja kita terlibat kerajaan persekutuan juga terlibat. Kementerian terlibat sekali, JPM terlibat sekali sebab itu saya tidak bimbang kerana ketika itu kerajaan negeri hutang dengan kerajaan persekutuan lebih kurang RM1.8 bilion. Saya letak syarat pada SYABAS masa itu, ambil lock stock and barrel . Hutang sekali dia ambil, ini (proses) penswastaan pertama di Malaysia hutang diambil oleh syarikat yang ambil sebanyak RM1.8 bilion.

Jadi adakah perjanjian ini akan menaikkan tarif?

Ya, dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Jawatankuasa ini yang akan tentukan sama ada ia boleh naik atau tak boleh naik sebab kalau SYABAS saman kerajaan negeri, saya tidak ada masalah. Saya yakin kerajaan negeri boleh menang.

Tapi jika syarat itu dipenuhi dengan kadar NRW, tarif tetap naik?

Yalah, tapi kita akan kurangkan kos pembangunan. Tak perlu bina empangan baru dan sebagainya. Janji, kualiti air itu (baik), tidak perlu disaring.

Adakah benar dakwaan bahawa kadar air akan meningkat menjadi lebih mahal daripada petrol dengan penswastaan ini?

Tidak, tidak, tidak. Tidak benar. Kalau kita dapat kurangkan kos pembangunan, kerajaan negeri boleh bagi insentif yang lain kepada rakyat. Sekarang masalahnya kita dalam lose-lose situation . NRW meningkat dan kita kena bina empangan, bina infrastruktur baru tapi air tetap keluar, hilang dan kerajaan negeri kena bina infrastuktur yang merosakkan alam sekitar.

Mengapa langkah penswastaan ini dijalankan sejak dahulu tapi masih belum selesai?

Tak selesai, memang susah. Saya dulupun menghadapi masalah. Ceritanya di Selangor ini masa saya masuk dulu pun sebahagian industri air telah diswastakan. Saya punya matlamat ketika itu kita hendak pihak yang sama akan terlibat kerana di situ akan berlaku cross-subsidy . Kita tak mahu ada player baru, jadi kita hendak buat konsortium (antara) syarikat yang terlibat dulu dengan syarikat yang baru terlibat dengan pembinaan empangan (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor) Splash di (Kuala Kubu Bharu) seumpamanya.

Ketika saya masuk kerajaan negeri, Splash tengah bina empangan. Ia menelan kos sebanyak kira-kira RM2.4 billion. Satu empangan terbesar di Malaysia sekarang ini. Jadi saya cuba menstrukturkan semula (syarikat berkaitan air) untuk semua duduk bawah satu bumbung supaya ada cross subsidy .

Sekarang ini syarikat pengeluar air dia akan keluarkan air dia caj kepada syarikat penyaluran. Sedangkan NRW 30 peratus. Jadi syarikat pengedar air akan hilang (pendapatan) kerana dia bayar kepada syarikat pengeluar 100 peratus tapi dia pungut daripada pengguna hanya 70 peratus. Jadi tidak ada cross subsidy . Memang bermasalah.

Sampai sekarang tak selesai-selesai sampai saya tak jadi menteri besar dah. Bila kerajaan persekutuan berjanji dengan kita nak selesaikan dan mereka meluluskan penyaluran air Selangor beri kepada Puncak Niaga pada ketika itu, kita ikut. Asalkan hutang kita semua dia tanggung. Hutang itu tidak lagi dianggap hutang kerajaan negeri.

Kerajaan negeri sebelum ini buat banyak hutang dengan kerajaan persekutuan untuk ganti paip dan sebagainya. Masalah kita pada masa itu tak ada dana untuk bayar hutang. Di Selangor saja masa itu kita kena ganti 2,400 kilometer.

Jadi kenapa masih timbul lagi dakwaan ada konflik kepentingan antara pentadbiran BN sebelum ini dengan Puncak Niaga.

puncak niaga holding berhad Masalahnya Khalid Ibrahim menganggap orang Umno ini akan sokong Umno. Tan Sri Rozali sekarang ini pun bukan aktif dalam Umno lagi dah. Dia bukan bendahari Umno Hulu Selangor lagi.

Sebelum saya dulu dia bendahari, masa (bekas menteri besar) Tan Sri Muhammad (Mohd Taib) dulu, dia jadi ketua bahagian. Masa (ketua bahagian Umno Hulu Selangor) Datuk Mohd Idris (Abu Bakar), dia bukan bendahari lagi.

Konsesi itu diberikan kepada SYABAS pada tempoh bila?

Konsesi dengan SYABAS pada zaman saya. Tan Sri (Rozali) (sudah) tak jadi bendahari lagi.

Kenapa Tan Sri Rozali diberikan konsesi itu?

Sebab dia terlibat dengan Puncak Niaga dan dia terlibat dalam SYABAS ketika itu dan kerajaan persekutuan melihat dia syarikat yang paling berkemampuan, kita ikut keputusan kerajaan persekutuan pada ketika itu, asalkan hutang-hutang itu dapat dilangsaikan oleh Puncak Niaga.

Saya pada ketika itu pro kepada memperbaiki pengurusan (Perbadanan Urus Air Selangor) PUAS. Saya tubuhkan PUAS pada ketika itu. Tapi dibincangkan dalam kabinet, diputuskan ia diberikan kepada syarikat yang terlibat supaya ada sistem cross subsidy . Supaya penstrukturan ini mudah.

Apa masalah kerajaan negeri sekarang dalam menstrukturkan semula pengurusan air ini?

kumpulan darul ehsan berhad kdeb Masalah sekarang kena libatkan semua, jangan libatkan pihak baru. Satu ketika dulu kita fikirkan industri air ini patut diketuai oleh (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) KDEB, satu ketika dulu kita buat keputusan melalui perangsang Selangor untuk ketuai industri air ini. Sebab itu kita ambil syarikat SYABAS, sahamnya KDEB pegang 30 peratus dalam SYABAS, dalam Splash dan Puncak Niaga.

Sepatutnya dia teruskan, KDEB patut ketuai. Sebab KDEB ialah GLC kerajaan negeri. Bila kerajaan persekutuan tubuhkan (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) SPAN ini yang menjadi konflik sekarang, kerajaan persekutuan kata industri air tidak boleh diberikan kepada negeri kerana satu hari nanti kita akan perlukan pindahan air antara negeri. Sebab itulah bila kita bincang dengan Pahang, kena ada campur tangan dengan kerajaan persekutuan. Kerana Pahang kita raw water pada ketika itu 30 sen. Kita minta pada masa itu dua sen.

Tapi kesalahan diletakkan balik kepada SYABAS. SYABAS tidak mahu kerjasama untuk struktur semula, dia saman kerajaan negeri. Saya tidak ada masalah, negeri boleh menang sebabnya panel yang diketuai kementerian air dan tenaga ini, ada wakil Selangor di situ, kita ada full say di situ.

Adakah masalahnya sebab pihak yang terlibat dalam SYABAS terdiri daripada pembangkang?

Tak ada kena mengena.

Tan Sri Rozali juga bersuara seperti pembangkang, seperti yang diucapkan dalam satu majlis buka puasa...

Dia peniaga bila tak ada kerjasama dalam ini jangan salahkan Umno. Tan Sri Rozali tidak aktif lagi saya rasa (dalam Umno). Bukannya wakil rakyat, bukannya pemimpin bahagian. Jadi kalau nak meniaga di Selangor tak boleh jadi ahli Umno ianya tidak adil. Adalah hak dia untuk melibatkan diri dalam parti tertentu tetapi perniagaan tetap perniagaan. Jadilah profesional. Khalid Ibrahim kata dia seorang profesional.

Adakah ia disebabkan apa yang Tan Sri Rozali sebut dalam majlis buka puasa itu ada kena mengena dengan SYABAS?

Saya rasa hubungan antara mereka (Rozali dan Khalid) tidak baik. Untuk berunding, pertama sekali mereka meesti boleh duduk bersama dan ketepikan masalah. Apa yang penting, rakyat dapat keuntungannya. Kita tak boleh bincang dengan orang kita salahkan dia Umno, (dia ada) kroni, dia pun ada perasaan juga. Macam saya nak jumpa you , saya mengata macam-macam lepas itu panggil you datang, ini tidak betul.

Sebagai menteri besar ni banyak perkara yang kita tak gembira kena simpan sebab nak jaga hubungan supaya masalah selesai. Perasaan tidak puas hati dia kepada Tan Sri Rozali, marah Tan Sri Rozali jadi ahli Umno, patutnya dia simpan, jangan cerita dekat media . Ini kita tengok dalam suratkhabar yang dikeluarkan kerajaan negeri memang terus terang (anti-Umno). Kerajaan ini berkuasa penuh, ada pengaruh. Tak sepatutnya kita buat macam itu.

khir toyo and umno youth pemuda Jadi ia lebih kepada isu peribadi antara Khalid dengan Rozali?

Tentulah. Tidak profesional lagi.

Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan Selangor pendengaran awam melalui awatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat)?

Selcat ini hanya alat politik. Kalau Selcat betul-betul telus, kenapa (Exco, Datuk) Hasan Ali bila kritik Selcat tak kena tindakan tapi saya kena tindakan sampai setahun? Tak dipanggil pun (untuk beri penjelasan).

Tapi ada yang lihat pendengaran secara terbuka ini lebih baik daripada tindakan beri penyapu kepada pentadbir awam?

Hasil saya beri penyapu, pejabat daerah itu dapat yang terbaik. Kalau hari ini saya ingat lagi banyak pegawai kerajaan yang tak jalankan tugas. Saya nak beritahu kepada kawan-kawan, kalau pegawai kerajaan tak jalankan tugas, apa kita nak buat? Nak ambil tindakan ikut prosedur ambil masa yang lama. OK? Bukan senang hendak buang pegawai kerajaan. Kalau hendak letak dia kat peti sejuk (cold storage) , dia lagi seronok. Dapat gaji tapi tak ada kerja. Isunya sekarang rakyat marah kerana pegawai kerajaan tak jalankan tugas. Jadi kita ambil tindakan bagi pihak rakyat. Dan ia dipolitikkan sebenarnya. Ini bukan perkara baru di sini. Di Malaysia baru, tapi di Jepun, Korea jadi perkara biasa.

Datuk tak rasa malu kalau ada orang kata Datuk teruk dan beri penyapu?

Saya tak rasa begitu. Ia satu peringatan yang baik. Saya sangat terbuka. Pegawai kerajaan kalau kita tegur empat lima kali kemudian kalau tidak (tingkat prestasi) juga saya nak tanya rakyat, nak bagi apa? Saya pun tak faham kenapa ia dipolitikkan.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini