Kerajaan akan menggubal akta menghina mahkamah walau Ketua Hakim Negara pernah berpendapat akta seumpama itu tidak diperlukan kerana peruntukan sedia ada sudah mencukupi.

Mengulas kenyataan Tun Eusoff Chin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim berkata, bukan hak seorang hakim menentukan undang-undang tersebut tetapi mereka boleh mengemukakan pandangan.

"Ini kerja kerajaan, bukan kerja kehakiman," kata Dr Rais di luar Dewan Rakyat, sambil menjelaskan bahawa kerajaan tidak terikat dengan pandangan Eusoff itu.

Dr Rais berharap rang undang-undang itu akan dapat dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Semasa menjawab soalan lisan Lee Kah Choon (BN-Jelutong) pagi ini, Dr Rais berkata penggubalan akta itu tidak banyak menerima tentangan daripada pihak-pihak lain.

Lee ingin mengetahui hasil kajian yang dijalankan kerajaan bagi mewujudkan Akta Penghinaan Mahkamah (contempt of court act) memandangkan kes itu semakin meningkat.

Rais berkata skop undang-undang menghina mahkamah amat luas dan telah lama berkuatkuasa di United Kingdom dan beberapa negara Komanwel seperti India, New Zealand dan Australia.

"Prinsip yang diutamakan ialah sekiranya seseorang atau sesuatu pihak melanggar prosedur atau hemah pengadilan dan pentadbiran keadilan, maka tindakan menghina mahkamah akan dijalankan," jelas Rais semasa menjawab soalan tambahan Lee.

Wakil rakyat Jelutong itu meminta kerajaan mengenal pasti had menghina mahkamah dan keraguan yang timbul berhubung perkara itu.

Keputusan ini dibuat oleh hakim semasa membicarakan sesuatu kes dan ia tidak dikawal oleh pihak luar, ulas Rais lagi.

Apabila ditanya wartawan lagi, sama ada undang-undang itu digubal ekoran sikap orang ramai hari ini yang mempertikaikan sistem keadilan negara, Rais berkata soal menghina mahkamah, memperkecilkan atau mencerca undang-undang tidak berkaitan dengan kepercayaan seseorang.

Malaysiakini pernah melaporkan Rais berkata bahawa kerajaan akan mengambil kira cadangan pelbagai pihak, selepas merasmikan Seminar Menghina Mahkamah anjuran Majlis Peguam pada 23 September lalu.[#1] [No time frame for contempt of court enactment[/#], Sept 23]

Menteri itu berkata kerajaan telah meminta pejabat Peguam Negara mengkaji cadangan akta itu yang dikemukakan oleh persatuan peguam itu.

Seminar itu disertai 600 pengamal undang-undang, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.