Transparency International (TI) Malaysia menggesa supaya proses pemilihan pucuk pimpinan PKR bebas daripada politik wang.

"Sekiranya PKR berpegang kepada urustadbir yang bersih, bertanggungjawab dan telus, maka semua calonnya mesti berpegang kepadanya dan elak daripada politik wang," kata presiden TI Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata pemilihan PKR menjadi tumpuan rakyat yang ada kepentingan terhadap keputusannya atau mahu melihat pemilihan itu sebagai satu petanda sama ada PKR boleh dipercayai untuk menubuh kerajaan yang berwibawa.

"Tumpuannya bukan sahaja terhadap siapa yang bertanding untuk jawatan apa, tetapi juga tentang bagaimana pemilihan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malangnya, tegas beliau lagi, terlalu banyak pemilihan parti politk yang dicemari oleh politik wang.

Politik wang, tegas Paul, adalah ibu segala rasuah kerana ia bukan sahaja menjejaskan proses pemilihan secara demokratik, tetapi membuatkan calon-calon 'terhutang' kepada pembiaya mereka sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

"Rakyat sedang memerhati (pemilihan PKR) secara dekat dan TI Malaysia berharap ianya dijalankan secara bebas, adil dan bertanggungjawab, serta bebas daripada politik wang.

"Supaya calon-calon yang dipilih berdasarkan kepada integriti, kecekapan dan komitmen mereka untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa pengaruh wang," tambahnya.