PAS dakwa pemimpin Umno Pahang tidak ikhlas untuk berundur

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

PAS melihat kenyataan pemimpin Umno di Pahang untuk berundur dari bertanding dalam pilihanraya umum akan datang sebagai "satu cubaan untuk mengambil hati Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad".

Pesuruhjaya PAS Pahang, Idris Omar berkata, beliau tidak yakin keikhlasan mereka untuk memberi peluang kepada muka baru, tetapi sekadar mahukan mengambil hati perdana menteri yang telahpun menyatakan kesediaannya untuk berundur.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementan, berkata pengumuman Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berhubung perkara itu, turut menjadi ikutan beberapa ahli exco dan wakil rakyat di Pahang.

Lagi pun, tambahnya, adalah menjadi lumrah bahawa "mereka yang naik atas dasar mengampu akan jatuh dengan turunnya orang yang mereka ampu".

"Sebelum mereka dijatuhkan oleh rakyat melalui pilihanraya yang akan datang, agaknya mereka berfikir lebih baik berundur secara terhormat supaya tidak mendapat malu," kata Idris lagi.

Selain itu, katanya, ia mungkin didorong oleh kesedaran di kalangan pemimpin Umno Pahang bahawa mereka sebenarnya tidak begitu berwibawa untuk menerajui negeri itu.

"Ramai di antara mereka yang naik bukanlah berasaskan kebolehan tetapi lebih kepada kebolehan mereka membodek pemimpin yang lebih tinggi," kata Idris yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pahang.

Menurut beliau, parti pembangkang, terutamanya PAS kini semakin kuat di negeri itu walaupun ramai penyokongnya yang lebih gemar mendiamkan diri kerana tertakluk kepada Akujanji yang telah mereka tandatangani..

"Rata-rata rakyat negeri ini yang berpendidikan, terutamanya generasi muda, memberi sokongan kepada pembangkang berbanding dengan golongan berumur di kawasan luar bandar," tambahnya.

Menyokong kerajaan

Bagaimanapun, Naib Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Abdul Hamid Mohd Nazahar, menafikan dakwaan pemimpin PAS tersebut sambil menegaskan keikhlasan Adnan untuk berbuat berundur.

"Mereka boleh berkata apa sahaja yang mereka suka, tetapi hakikatnya semakin ramai rakyat di negeri ini yang kembali menyokong kerajaan yang banyak berjasa kepada mereka," tegasnya.

Beliau yang mahukan Adnan terus memimpin, berkata secara umumnya Umno Pahang amat menghargai kepimpinan beliau yang telah banyak membawa kemajuan dan perubahan kepada rakyat negeri itu.

"Walaupun pemimpin lama telah menyatakan kesediaan mereka untuk berundur, saya berharap masih ada mereka yang berpengalaman untuk terus menerajui negeri ini untuk digandingkan dengan pemimpin yang lebih muda.

"Untuk mendapatkan gandingan yang mantap, sebahagian dari pemimpin lama patut terus menerajui negeri ini," kata Abdul Hamid, yang juga exco Pemuda Umno Malaysia.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In