Perbicaraan kes simbah cat di surau ditangguh
Perbicaraan tiga juvana yang didakwa menyimbah cat pada surau di Taman Sri Pulai di Seremban pada Ogos lalu ditangguhkan pada 19 Oktober depan kerana laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat masih belum siap.
Majistret M Mageshwary menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiapkan laporan berkenaan. remaja terbabit.
Ketiga-tiga remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ketika mereka dihadapkan di mahkamah yang sama pada 27 Ogos lalu an dibenarkan ikat jamin RM1,000.
Tertuduh pertama berumur 17 tahun, tertuduh kedua berumur 15 tahun dan tertuduh ketiga berumur 16 tahun, yang berasal dari sekitar Ulu Temiang dan Sikamat di sini didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 pagi hingga 4 pagi, 23 Ogos lalu.
Dalam pertuduhan pertama, ketiga-tiga remaja didakwa melakukan khianat dengan membaling botol di surau tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kedua dan ketiga didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat di surau yang sama.
Bagi setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh pertama turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat melakukan kesalahan menyimbah cat di surau terbabit mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Datuk Lee Kong Fee manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmud Abdullah.

