Mahkamah tolak petisyen gulung kontraktor utama
Mahkamah Tinggi hari ini menolak petisyen yang dikemukakan oleh satu kontraktor kecil yang memohon mendapatkan perintah untuk penggulungan kontraktor utama projek Hospital Shah Alam yang baru.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mah Weng Kwai menolak petisyen itu apabila peguam yang mewakili pempetisyen, GM Healthcare Sdn Bhd, gagal hadir di mahkamah selepas kes itu dipanggil sebanyak dua kali untuk pendengaran.
GM Healthcare memohon untuk mendapatkan perintah untuk penggulungan kontraktor utama, Sunshine Fleet Sdn Bhd, dan mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar kes itu. Peguam yang mewakili Sunshine Fleet juga tidak hadir.
Mah bertanya kepada Intan Azlina Mazlan, peguam pemerhati bagi Putra Perdana Construction Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan dan pemberi pinjaman bagi Sunshine Fleet, sama ada peguam yang mewakili GM Healthcare tahu mengenai tarikh pendengaran itu.
Intan Azlina menjawab peguam berkenaan sepatutnya tahu kerana mereka hadir di mahkamah semasa kes itu disebut pada Julai.
Pada 23 April, GM Healthcare memfailkan petisyen mengikut Seksyen 218 Akta Syarikat 1965 yang membenarkan mahkamah untuk menggulung sesebuah syarikat jika ia gagal membayar hutangnya.
Dalam petisyen itu, ia memohon perintah bagi kontarktor utama membayar RM10 juta kepada GM Healthcare, jumlah yang didakwa hutang Sunshine Fleet kepada GM Healthcare.
Bayaran itu dikatakan bon bayaran pendahuluan atau jaminan bank dengan Jabatan Kerja Raya bagi pihak Sunshine Fleet untuk rekaan, pembinaan, peralatan, pelaksanaan dan penyelengaraan hospital itu.
Hospital dengan kapasiti 300 katil itu dijangka siap menjelang Jun tahun depan.
- Bernama

