Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Aziz Deraman telah menyatakan kesediaannya untuk mempengerusikan debat mengenai Sekolah Agama Rakyat (SAR) di antara wakil PAS dan Umno yang tetapkan pada 16 Feb.

Aziz telah menyatakan persetujuannya itu sewaktu dihubungi setiausaha Dewan Pemuda PAS, Misbahul Munir Masduki (foto), semalam untuk mempelawa beliau mempengerusikan debat berkenaan.

"Sebaik sahaja saya menerima jawapan (Speaker Dewan Rakyat) Tun Zahir menolak tawaran itu (untuk mempengerusikan debat), saya terus menghubungi Aziz," kata Misbahul.

Pada mulanya, debat SAR di antara Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub itu itu dijadual berlangsung di Auditorium Angkasa di Kelana Jaya.

Bagaimanapun, kata Misbahul, pihak pengurusan auditorium Angkasa di Kelana Jaya kemudiannya menarik balik persetujuannya membenarkan debat itu diadakan di auditorium terbabit "atas sebab-sebab tertentu".

Sehubungan itu, katanya, Aziz telah menawarkan supaya debat itu diadadakan di auditorium DBP di Kuala Lumpur.

Syarahan perdana

Menurut Misbahul, Aziz menyatakan kesanggupannnya itu kerana beliau pernah terbabit dalam menganjurkan syarahan perdana mengenai isu Palestin di antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, tahun lalu.

Syarahan perdana itu, anjuran bersama DBP dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), berlangsung di auditorium DBP dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Bagaimanapun, Menteri Penerangan Datuk Khalil Yaakob memberitahu kelmarin bahawa RTM tidak akan menyiarkan secara langsung debat di antara Nazri (kanan) dan Salahuddin (kiri), kerana kedua-duanya bukannya pemimpin tertinggi parti masing-masing.

Nazri yang juga ahli Parlimen Chenderoh, menerima cabaran Salahuddin untuk berdebat mengenai isu SAR bagi mempertahankan perdana menteri yang didakwa oleh pemimpin PAS itu mempunyai agenda untuk menutup SAR dengan menghentikan bantuan perkapita dan provokasi melalui media.

Kedua-duanya juga dikatakan bakal bersumpah dengan al-Quran bagi menyatakan pendirian masing-masing selepas debat itu diadakan, seperti yang dimahukan oleh Nazri.

"Selepas bercakap melalui telefon, saya terus menghantar permohonan rasmi kepada beliau melalui faksimili," kata Misbahul lagi.

Muzakarah

Misbahul yang mewakili Salahuddin dan setiausaha sulit Nazri, Shamsul Anuar Nasarah telah diberi tugaskan untuk menjayakan debat itu

Menurut Misbahul lagi, Shamsul Anuar juga telah menyatakan kesediaan Nazri untuk berdebat di mana-mana tempat yang dipilih oleh PAS.

"Beliau memberitahu saya bahawa Nazri bertegas mahukan perbahasan ini menjadi kenyataan, walaupun ianya diadakan di Markas PAS (Gombak)," katanya yang telah mengadakan tiga rundingan dengan Shamsul Anuar berhubung perkara itu.

Usaha malaysiakini untuk menghubungi Aziz dan Shamsul Anuar untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu, tidak berhasil.

Sebelum ini, satu sesi debat pernah diatur di antara ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar dan rakan sejawatnya dari Umno, Datuk Hishammuddin Hussein, tetapi ianya dibatalkan kerana tidak mendapat restu dari pemimpin tertinggi Umno pada saat-saat akhir.

Begitu juga dengan muzakarah di antara pemimpin tertinggi Umno dan PAS untuk membincangkan isu-isu berhubung perpaduan Melayu, juga tidak menjadi kenyataan walaupun jawatankuasa teknikalnya, yang dianggotai setiausaha agung parti masing-masing, telah mengadakan beberapa pertemuan awal.