Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Sosilawati: Peguam tak tahu bila pendakwaan
Diterbitkan:  Sep 28, 2010 6:01 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Peguam Ravi Nekoo yang mewakili dua adik beradik peguam yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, berkata beliau tidak tahu bila pelanggannya dan enam lagi suspek akan didakwa.

Sosilawati Lawiya police search afp 3 "Perintah tahanan reman pelanggan saya akan berakhir Sabtu, jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat ini, atau polis mungkin memutuskan untuk memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret," katanya hari ini.

Ravi akan menulis kepada pemangku ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, bagi membolehkan beliau dan seorang lagi peguam mempunyai akses kepada suspek kerana kedua-dua pelanggannya yang berumur 41 dan 38 tahun kini ditahan kontinjen polis negeri itu.

"Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis," katanya.

NONE Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.

"Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini, yang telah dinafikan sejak kunjungan pertama lagi," katanya.

Beliau berkata, polis telah mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti, atau mereka bimbang suspek akan melarikan diri.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Sosilawati Lawiya police search afp 2 Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sehingga mati, mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

"Mereka sudah pun mempunyai lebih daripada 14 hari untuk mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami," katanya yang turut meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan akses bertemu peguam mereka.

Ravi juga berkata, ketika ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu, manakala seorang lagi peguam iaitu DP Vijandran belum memutuskan sama ada akan menyertai mereka atau tidak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS