Empat usul belum dikemukakan di DUN Melaka: DAP
versi terkini Empat daripada enam usul yang ditolak oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka minggu lalu tidak pernah dikemukan DAP, dakwa seorang wakil rakyat parti itu.
"Kenyataan beliau (Speaker) adalah tidak benar," kata Ketua Pembangkang dewan itu, Sim Tong Him kepada malaysiakini , mengulas laporan akhbar The Sun hari ini.
Akhbar itu melaporkan, Datuk Amid Nordin berkata usul-usul yang dicadangkan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP untuk dibahaskan dalam sidang DUN itu esok ditolak kerana telah dibangkitkan dalam sesi-sesi lalu dan tidak mewakili kepentingan umum.
"Saya rasa perkara-perkara ini tidak munasabah untuk dibincangkan kembali dalam sidang akan datang ini," katanya seperti dilaporkan. Tambahnya, usul itu ditolak Jumaat lalu menurut Perkara 17 (2) Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN tersebut.
Empat usul yang didakwa belum dibahaskan lagi adalah:
- Mengarahkan kerajaan negeri menubuhkan satu muzium kapitan-kapitan Melaka bagi menghargai dan mengesahkan sumbangan mereka terhadap pembangunan negeri itu pada zaman dahulu.
- Mengarahkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat semua projek yang dilaksanakan oleh Kolej Islam Melaka (KIM) dan juga perbelanjaan yang meragukan atau berunsur penyelewengan, dan mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai terbabit.
- Mengarahkan kerajaan negeri memberikan peruntukan kepada setiap kawasan DUN secara adil dan terbuka, termasuk kawasan DUN pembangkang untuk mengelakkan pembaziran dan pembahagian secara pilih kasih.
- Mengambil ketetapan untuk mengecam regim Taliban di Afghanistan yang telah memusnahkan dua patung kuno Buddha.
Piket di tepi jalan
Sementara dua usul yang telah dibahaskan tetapi dicadangkan untuk dikemukakan semula adalah:
- Membuat ketetapan bahawa kerajaan negeri memberikan peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta kepada Sekolah Menengah Pay Fong bagi membantu sekolah itu mengatasi masalah kewangan dan defisit tahunan sebanyak RM2 juta.
- Mengambil ketetapan mengarahkan kerajaan melanjutkan tempoh pajakan tanah di sepanjang Jalan Tengkera, contohnya Lorong Kapitan dan memberi hak milik kediaman kepada pemilik-pemilik asal kawasan itu.
Pagi tadi keempat-empat wakil rakyat DAP itu mengadakan piket selama beberapa jam di Bulatan Bukit Cina dan di Jalan Bunga Raya, bandar Melaka, bersama kira-kira 20 penyokong parti itu.
Selain Sim sebagai Adun Bandar Hilir, Goh Leong San (Tengkera), Betty Chew Gek Cheng (Durian Daun) dan Lim Wak Jong (Bachang) hadir untuk membantah tindakan speaker tersebut dengan membawa sepanduk yang bertulis "membantah speaker merampas hak berucap."
Semalam, empat wakil rakyat itu bertemu Amid untuk mendapatkan penjelasan mengapa penolakan tidak disertakan sebab. Menurut Sim, Amid menjawab usul itu "bukan menyalahi peraturan tetapi ia telah dibahaskan dan tidak dperlu dibawa ke sidang DUN."
Apabila dihubungi malaysiakini , Amid tidak bersedia memberikan sebarang ulasan lanjut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.