Portal berita, TV layak jadi ahli penuh NUJ
Ketika orang ramai ramai, termasuk pemberita menyangka keahlian Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hanya eksklusif untuk media cetak, presiden barunya Hata Wahari mendedahkan sebaliknya.
Katanya, perlembagaan NUJ tidak pernah meletakkan syarat yang menghalang media baru dan wartawan penyiaran bagi mengganggotainya sebagai ahli penuh.
"Dalam perlembagaan NUJ tiada halangan (terhadap) siapa hendak tubuhkan kesatuan sekerja.
"Maknanya, dia boleh tubuhkan NUJ cawangan Bernama TV (contohnya). Boleh, tak ada masalah," katanya.
Bagaimanapun, menurut wartawan kanan Utusan Malaysia itu, terdapat proses-proses biasa yang perlu diikuti sebelum diterima masuk.
"Tak ada (peruntukan) kata portal berita tak boleh sertai. Selagi kamu ada ahli 20 orang ke atas, berdaftar, bayar yuran selama setahun.
"Pendaftaran cawangan lagi mudah daripada pendaftaran kesatuan sekerja. Itu yang (kita) nak tarik lagi ramai orang datang (sertai NUJ)," katanya.
Kaukus prokebebasan, tegas etika
Dalam wawancara dengan Malaysiakini Rabu lepas, Hata juga memberitahu, walaupun tidak layak, sekarang ini sudah ada editor dan pengarang kanan yang menyertai kesatuan itu sebagai ahli bersekutu.
Ditanya kenapa perkara tersebut tidak dihebahkan sebelum ini, beliau menjawab ringkas, "sebab kita tidur kot selama 12 tahun (semasa pentadbiran presiden lama)".
Bagaimanapun, dalam wawancara panjang kira-kira sejam itu, presiden yang baru dipilih pertengahan bulan lepas itu nampaknya mempunyai cita-cita yang lebih besar - menyatukan wartawan dan aktivis media dalam satu bumbung.
Untuk itu, tambahnya, NUJ sudah bersetuju menubuhkan kaukus media untuk bebebasan, antaranya akan turut menegaskan semula etika kewartawanan yang makin 'menyepi'.
Malah, menurut Hata, pihaknya akan menjemput NGO lain yang selama ini dilihat sebagai anti-establishment seperti Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan 1Muted Malaysia.
"Biar mungkin mereka tak terima NUJ sebagai pemimpin, pengasas (kaukus)... Tak perlu, kalau kita ada sedikit saja persamaan, kita bersatu terus. Tak ada masalah," katanya.
Tentang etika kewartawanan yang mahu diperjangkannya, beliau berkata, persetujuan kod-kod yang digubal yang dipersetujui oleh semua wartawan Asean pada 1978 lagi akan diketengahkan semula.
Tak dihebohkan
Menurut Hata, ia antaranya menggariskan bahawa laporan mestilah telus, tidak memihak atau mencetuskan pergaduhan antara negara.
"Yang itu NUJ pegang sampai sekarang. Dalam (kod) itu juga menyatakan, akhbar tak boleh dimiliki mana-mana parti politik.
"Ada dalam itu juga. Yang itu kita perjuangkan sekarang. Orang tak tahu sebenarnya," katanya.
Bagaimanapun, Hata dengan nada sedih berkata masih ada wartawan, terutamanya yang baru masih tidak mengetahui tentang perkara itu.
"Maknanya kita tak hebahkan pada orang (selama ini). Kita hendak tegakan semula (perkara ini).
"(Ia )adil, dirangka wartawan asian yang kira-kira berjumlah 50,000 orang," tambahnya.

