Usaha untuk mengekalkan kewujudan Sekolah Agama Rakyat (SAR) semakin cerah berikutan kesediaan Sultan Perak dan Raja Muda Perlis untuk membawa isu itu ke persidangan Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung Mac depan.

Menurut Pengerusi Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) Mohd Azmi Abdul Hamid, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah menyatakan kesediaan baginda untuk berbuat demikian sewaktu menerima menghadap wakil Gegar dan pertubuhan SAR di Perak pada 15 Januari lalu.

Manakala Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra (foto), pula telah menyatakan kesediaan baginda untuk merujuk isu SAR kepada Persidangan Majlis Raja-Raja, menerusi surat baginda kepada Gegar yang bertarikh 19 Jan lalu.

Di samping itu, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri), juga berkenan untuk menerima menghadap beliau dan kumpulan yang memperjuangkan isu SAR, ibu bapa dan para guru, Selasa depan, di pejabat baginda di Wisma Negeri, Alor Star.

Sultan Abdul Halim akan mempengerusikan Persidangan Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 Mac depan.

Menurut Mohd Azmi, pertemuan dengan Sultan Abdul Halim nanti akan memberi peluang kepada mereka untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung isu SAR.

Alasan tidak kukuh

"Kami merancang untuk menyerahkan memorandum kepada baginda sultan dan seterus membincang isu terbabit," kepada Mohd Azmi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mohd Azmi berkata beliau akan menghadiri pertemuan itu sebagai mewakili Gegar. Yang lainnya ialah wakil Persatuan Ulama Kedah, Majlis Pengetua SAR, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SAR dan Persatuan Guru-Guru SAR.

Mengenai pertemuan dengan baginda Sultan Perak (foto) pada 15 Jan lalu, Mohd Azmi berkata baginda berkenan menerima memorandum yang diserahkan pada hari berkenaan berhubung masalah yang dihadapi sekolah agama rakyat.

Katanya, baginda juga turut bersetuju bahawa alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan (memberhentikan bantuan perkapita kepada SAR dan menyerapkan SAR ke sekolah kebangsaan) sebagai tidak kukuh.

Katanya, baginda juga menyuarakan rasa kecewa kerana perkara itu tidak terlebih dahulu dirujukkan kepada Majlis Raja-Raja sebelum keputusan mengenainya diambil.

Sultan Azlan, yang juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara, memberitahu mereka yang baginda mahu isu SAR itu dijadikan salah satu agenda Persidangan Raja-Raja Melayu.

'Serangan' berterusan

Menurut Mohd Azmi, perjumpaan dengan baginda sultan Perak berlangsung di Istana di Ipoh yang berakhir selama lebih satu jam.

Katanya, Gegar juga menerima surat dari Raja Muda Perlis, yang antara lain menyebut bahawa baginda akan berusaha membangkitkan isu tersebut di Persidangan Majlis Raja-Raja akan datang.

"Baginda juga menyatakan kesalnya kerana tidak dapat menemui kami untuk menerima memorandum mengenai SAR kerana kebetulan baginda berada di luar negara. Bagaimanapun, baginda meminta kami menghantar memorandum itu ke pejabat baginda," tambahnya.

Mohd Azmi berharap campurtangan Raja-Raja Melayu akan mendorong kerajaan untuk mengkaji semula keputusan dan tindakannya mengetepikan SAR.

Bagaimanapun, katanya, adalah sukar untuk menjangka sama ada satu keputusan dapat dicapai dengan baik di antara penyokong SAR dan pihak kerajaan memandangkan "serangan" yang masih berterusan terhadap SAR.

Katanya, seandainya dicapai kompromi sekalipun, tiga aspek akan tetap dipertahankan -- SAR terus beroperasi; SAR diiktiraf sebagai sebahagian sistem pendidikan perdana; dan sebarang perubahan pada masa depan perlu dirundingkan terlebih dahulu pihak pentadbir SAR.

Mohd Azmi juga mendakwa Gegar telah puas berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan pihak penggubal dasar, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, tetap masih belum mendapat sebarang respon.

Puas menunggu

"Kami tidak dapat berterusan menunggu. Kami akan mengirimkan memorandum kepada mereka tidak lama lagi," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha Gegar, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata rancangan untuk mengadakan perhimpunan sejuta orang untuk mengadakan sembahyang hajat bagi menyelamat SAR akan tetap diadakan pada 22 Feb depan di Stadium Kota Bharu, Kelantan.

Di samping, katanya, Gegar juga akan menganjurkan perhimpunan yang lebih kecil di Stadium Kuala Terengganu pada 17 Feb.

"Kami berharap mereka yang mahu melihat SAR terus wujud tanpa sebarang masalah akan memberi sokongan dengan menghadiri majlis-majlis tersebut," tambahnya.

Kerajaan Pusat berhenti memberi bantuan kewangan kepada SAR, kerana mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan.

Sambil menafi tuduhan itu, beliau berkata, sehingga ini tidak ada bukti yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir tahun lalu.

Gegar juga menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji keputusannya untuk menyerapkan SAR ke sekolah kebangsaan awal bulan depan.

Kini terdapat lebih 260 SAR di negara ini, membabitkan 260,000 pelajar peringkat rendah dan menengah. Sehingga ini, kira-kira 14,000 pelajar SAR telah beralih ke sekolah kebangsaan.