Dr Mahathir dibenarkan keluar hospital
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari hospital Epworth di Melbourne pagi ini. Beliau dimasukkan ke hospital itu sejak Sabtu akibat jangkitan kuman.
Menurut seorang jurucakap hospital, Dr Mahathir keluar dari hospital dengan semangat yang tinggi. Beliau telah berada di hotel penginapannya dan akan kembali ke tanah air minggu ini.
Dr Mahathir yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Melbourne pada hari Khamis lalu dan dijadualkan untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di Universiti Melbourne pada hari Sabtu.
Beliau sepatutnya berkongsi pandangan dan pendapatnya mengenai topik "Are We Ready for 1Malaysia: Does Race Still Play A Part?" (Adakah Kita Bersedia Bagi 1Malaysia: Adakah Bangsa Masih Memainkan Peranan).
|
|
Sejurus sebelum seminar itu bermula, juruacara majlis mengumumkan Dr Mahathir tidak dapat hadir di majlis itu yang beliau (Dr Mahathir)
nanti-nantikan dan sedih kerana tidak dapat berbuat demikian.
Beliau telah meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed untuk berucap di seminar itu bagi mewakilinya.
Dr Mahathir, 85, menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur pada Januari 1989 dan menjalani pembedahan kedua di Institut Jantung Negara pada September 2007.
Walaupun sudah berusia, beliau, yang merupakan penasihat syarikat pengeluar kereta nasional Malaysia, Proton dan perbadanan minyak negara Petronas, sering ke luar negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa berikutan beliau terus menjadi pilihan pihak penganjur untuk menyampaikan syarahan di majlis tempatan dan antarabangsa.

