Presiden GERAKAN Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, kemarahan bekas presiden dan penasihat parti itu Tun Dr Lim Keng Yaik kemungkinan disebabkan oleh salah faham semata-mata.

"Walaupun Tun Dr Lim dan saya telah berbincang tentang keadaan Pulau Pinang sebelum ini, beliau memberikan indikasi menyerahkan kepada saya dan kepimpinan sekarang untuk mencari penyelesaiaannya.

gerakan press conference koh tsu koon 2 "Oleh yang demikian, saya tidak menghubunginya secara langsung selepas langkah mengadakan EGM muncul pada 15 September 2010. Ini mungkin membawa kepada salah faham," jelas Dr Koh ( kiri ).

Dr Lim semalam mengumumkan melepaskan jawatan kerana kecewa dengan kepimpinan Dr Koh yang gagal mengambil tindakan proaktif menyelesaikan banyak isu melibatkan parti itu.

Menurut Keng Yaik, beliau juga kecewa terhadap Dr Koh kerana tidak mahu menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) Gerakan di Pulau Pinang bagi menyelesaikan kemelut parti di negeri itu sebaliknya memilih untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) MCA.

Pada 17 September lalu, sekumpulan ahli Gerakan Pulau Pinang menyerahkan 60 tandatangan untuk mendesak EGM diadakan bagi menyingkirkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan.

Bagaimanapun Tsu Koon semalam berkata, beliau menghormati keputusan ahli akar umbi mengadakan EGM berkenaan dan berharap ia berjalan lancar, tetapi beliau tidak dapat menghadiri EGM itu kerana sudah berjanji menghadiri AGM MCA yang juga diadakan pada Ahad ini.

azlan Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Koh yang yakin pergolakan itu dapat diselesaikan berkata beliau sentiasa memantau dan mencari penyelesaiaan terbaik untuk mengatasi kemelut GERAKAN di Pulau Pinang.

"Sudah tentu proses sebegini memakan masa," katanya yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mengesahkan ibu pejabat GERAKAN menerima surat perletakan jawatan Dr Lim selepas jam 4 petang semalam, Dr Koh berkata beliau akan mendapat nasihat ahli jawatankuasa pusat berhubung perkara itu "kerana Dr Lim dihormati sebagai penasihat untuk seluruh parti".

Buat sementara ini, Dr Koh meminta semua anggota parti itu supaya bertenang dan berharap sebarang perbezaan diselesaikan melalui saluran dalaman dan mesyuarat agung khas harus dielakkan seboleh-bolehnya.