Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) menganggap hasrat ADUN Perak kawasan Malim Nawar, Keshvinder Singh, menyertai parti itu sebagai penerimaan masyarakat terhadap perjuangan PPP.

Sambil menyambut baik keputusan itu, Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, berkata wakil rakyat yang dahulunya daripada DAP itu mampu memberi kekuatan kepada PPP dalam menyuarakan hak ahli dan rakyat secara langsung di Dewan Undangan Negeri.

azlan "Saya mengucapkan terima kasih kepada Keshvinder yang telah mengumumkan hasratnya itu, kita mengalu-alukan hasrat itu dan masa depan PPP lebih kuat," katanya di Kuala Krai, hari ini.

Nik Sapeia, yang juga Pengerusi PPP Kelantan, mengaku mempelawa Keshvinder menyertai PPP kerana mendapati wakil rakyat itu mempunyai persamaan daripada segi perjuangan untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Semalam, Keshvinder mengumumkan hasratnya untuk menyertai PPP selepas dipelawa oleh Nik Sapeia yang menemuinya pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri Yayasan Bina Upaya dan Institut Darul Ridzuan di Ipoh.

- Bernama