Sokongan seorang tokoh wartawan Said Zahari kepada sekumpulan wartawan kanan arus perdana bagi menuntut kebebasan akhbar di negara ini "agak dikesalkan," kata Datuk Zainuddin Maidin hari ini.

Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan buku tokoh itu, juga dikenali Pak Said, Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik petang tadi.

"Cuma satu yang saya agak kesalkan yang tersebut di dalam buku ini tetapi ini mungkin di luar pencapaian maklumat Pak Said iaitu, tentang 580 wartawan yang menuntut pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang dianggap oleh Pak Said sebagai pejuang untuk kebebasan akhbar," kata Zainuddin.

Beliau mendakwa kumpulan wartawan yang menghantar memorandum bersama 581 tandatangan sokongan sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 3 Mei, 1999 mungkin didalangi oleh beberapa wartawan dari Thailand dan Indonesia.

"Saya ingin bertanya adakah layak bagi wartawan-wartawan dari negara-negara yang perut rakyatnya belum bebas dari kelaparan dan boleh diupah dengan sebungkus nasi untuk mengadakan tunjuk perasaan untuk datang dan bercakap mengenai kebebasan persuratkhabaran di negara kita, untuk mengajar wartawan-wartawan Malaysia tentang hak dan kebebasan?" katanya lagi.

Alat propaganda kerajaan

Tiga tahun lalu, memorandum yang dihantar kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu membincangkan masalah kewibawaan media arus perdana negara ini, khususnya selepas krisis politik ekoran pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Akhir-akhir ini, kewibawaan media dipersoalkan, bukan hanya di kalangan pembangkang dan pengkritik kerajaan, tetapi juga oleh orang ramai," memorandum itu dipetik.

"Juga turut menimbulkan masalah ialah tuduhan bahawa wartawan tempatan hanyalah sebahagian rangkaian alat propaganda kerajaan dan bukannya golongan profesional yang menjalankan tugas sebaik mungkin."

Mereka mengemukakan empat hujah bagi menggesa kerajaan menghapuskan akta yang mengawal media, termasuklah kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri yang diperuntukan oleh akta penerbitan itu.

Buku Pak Said mengisahkan perjuangannya dalam bidang kewartawanan dan politik melalui jawatannya sebagai ketua pengarang Utusan Melayu pada tahun 1950-an dan sekatan terhadap kebebasan kewartawanan di Tanah Melayu.

Barat-Soros

Said dibuang negeri ke Singapura kerana mengetuai mogok wartawan Utusan Melayu bagi menentang penguasaan Umno ke atas akhbar itu pada 1961.

Di Singapura pula, Pak Said ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri (ISA) selama 17 tahun kerana dianggap mengancam kerajaan Lee Kuan Yew apabila tokoh wartawan itu cuba menubuhkan Parti Rakyat Brunei.

Zainuddin, bekas tokoh wartawan di Kumpulan Utusan, juga mendakwa pengamal media dalam Utusan Melayu "bukan sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang."

Beliau juga memuji pandangan Pak Said ketika tokoh itu muncul dalam siaran berita utama stesen televisyen RTM untuk mengajak para wartawan "bangun, serentaj dan sederap untuk menentang agenda media Barat dengan teratur dan berkesan."

"Pak Said mengkagumi penentangan berani kepimpinan Malaysia (Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad) terhadap oligarki Barat-(George) Soros di (seminar ekonomi) Hong Kong sehingga akhirnya menggoncangkan dunia," katanya lagi.

Majlis pelancaran buku penting itu diadakan di Dewan Memorial Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan dihadiri kira-kira 200 pengamal media, pegawai kerajaan dan orang ramai.