Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Nik Aziz prihatin penduduk Bukit Pelandok: belia Cina

Lawatan Menteri Besar Kelantan ke kawasan penternakan babi dan wabak virus Nipah menunjukkan seorang pemimpin Islam memahami kesengsaraan rakyat tanpa mengira agama dan pekerjaan mereka, kata sekumpulan aktivis muda Cina.

"Kami mengalu-alukan lawatan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke Bukit Pelandok (Negeri Sembilan) untuk mendengar permintaan penternak babi dan mangsa virus Nipah yang masih menderita," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh tujuh pertubuhan pelajar dan pemuda Cina hari ini.

"Lawatan Tok Guru tidak mendatangkan sebarang kekurangan kepada masyarakat Melayu-Islam, tetapi mempamerkan kemegahan dan sifat sejagat agama Islam."

Dalam kenyataan yang sama, mereka membidas beberapa kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap melancarkan majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Gombak, Selangor pada 27 Mac lalu.

Menurut akhbar, Dr Mahathir mengulas lawatan PAS ke kawasan itu dengan menyifatkan langkah parti Islam itu adalah untuk membohongi orang Cina.

"Bagi penyokong PAS, inilah caranya mengalahkan parti lawan (Barisan Nasional)... pergi ke kandang babi, kita balik samaklah (najisnya)," kata Dr Mahathir seperti dilaporkan Utusan Malaysia .

Menderita, muflis

"PAS berbuat begitu hanya nak meraih undi Cina sahaja. Macam-macam lagi, misalnya PAS Kelantan beri 1,000 ekar (400 hektar) tanah kepada orang Cina untuk membina sekolah Cina.

"Di Terengganu pula, Menteri Besarnya (Abdul Hadi Awang) pelawa orang Cina buka kandang babi."

Jurucakap bagi kumpulan tujuh pertubuhan itu, Chay Chee Huat, menggesa Perdana Menteri meminta maaf kepada penternak babi, mangsa penyakit virus Nipah dan juga Menteri Besar Kelantan.

"Mangsa virus Nipah sedang menderita dan ada penternak pula yang muflis tetapi (mereka) dicerca pula oleh Dr Mahathir," katanya.

"Tindakan positif dan sokongan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk penternak babi yang menderita dan memajukan pendidikan Cina akan dapat mengeratkan persefahaman dan rasa hormat cara hidup antara Muslim dan bukan Islam," kenyataan kumpulan itu dipetik.

Tujuh pertubuhan belia Cina itu termasuklah Bahagian Belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Bahagian Belia Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema) dan Persatuan Graduan Selangor- Kuala Lumpur.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS