Surau Jubli Perak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, yang dirobohkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) minggu lalu akan dijadikan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas.

Menurut pegawai perhubungan awam Jais, Fakrul Azam Yahya, kerja-kerja penyediaan tabika Kemas itu dijadualkan bermula hari ini.

"Jais akan tetap berpegang dengan keputusan bahawa surau itu tidak boleh lagi digunakan untuk beribadah kerana kerajaan telahpun mendirikan sebuah masjid yang canggih bernilai jutaan ringgit di Bandar Baru Bangi," kata Fakrul yang bercakap bagi pihak Pengarah Jais, Datuk Mansur Ramli.

Bagaimanapun, penduduk di flat Jubli Perak mendakwa kedudukan masjid tersebut terlalu jauh, sekitar lima kilometer dari kediaman mereka. Oleh itu, mereka menyifatkan alasan itu pihak tidak munasabah sama sekali.

Apabila ditanya apakah keperluan menyediakan Tabika Kemas, dibawa naungan Kementerian Perpaduan Negara and Pembangunan Masyarakat, itu lebih mendesak berbanding dengan sebuah surau, Fakrul berkata bahawa beliau tidak dapat menjawabnya kerana perkara itu di luar bidang kuasa pengarah Jais.

"Sebagai pihak berkuasa agama, kami hanya menjalankan tugas sebagaimana yang dimahukan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang telah memutuskan bahawa surau tersebut tidak perlu lagi beroperasi di situ," katanya.

Politik PAS

Fakrul menegaskan bahawa setelah keputusan dibuat, adalah menjadi kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah bagi sesiapa sahaja yang terus beribadat di tempat yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengerjakan ibadah solat fardhu atau Jumaat di bekas surau itu.

"Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk merobohkan khemah yang didirikan untuk bersolat Jumaat atau menahan mereka yang terlibat pada masa akan datang," tegasnya.

Sambil mengakui bahawa politik PAS merupakan "faktor sumbangan" yang membawa kepada tindakan meroboh surau itu, Fakrul mengulangi bahawa matlamat asal pihak berkuasa agama negeri ialah supaya penduduk di situ mengerjakan ibadat di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi.

"Sekiranya mereka tidak pergi ke situ, siapa lagi yang akan mengerjakan ibadah solat fardhu di masjid yang bernilai kira-kira RM3 juta itu," katanya.

Walaupun beliau sendiri mengakui masjid yang dimaksudkan itu terletak agak jauh dari kediaman 7,000 penduduk itu, Fakrul berkata, "apalah salahnya kalau berusaha lebih sedikit" untuk pergi ke masjid baru.

Engkar arahan

Tinjauan malaysiakini Jumaat lalu, mendapati beratus-ratus pelajar di situ menghadapi kesukaran untuk mengerjakan solat Jumaat kerana ketiadaan pengangkutan untuk ke Masjid Hasanah.

"Keengganan mereka untuk bersolat di Masjid Hasanah juga menunjukkan mereka tidak bersyukur dengan apa yang diberikan oleh kerajaan sebagai memenuhi permintaan mereka sendiri supaya dibina sebuah masjid di Bandar Baru Bangi," katanya lagi.

Menurut Fakrul lagi, Jais sentiasa memantau khutbah yang disampaikan di surau terbabit dan mendapati ianya boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada mereka yang tidak mahu unsur-unsur politik dijadikan agenda ketika beribadat.

Jumaat lalu, ahli jawatankuasa dan jemaah surau tersebut mengengkari perintah Jais supaya tidak lagi mengerjakan solat Jumaat di tapak surau yang telah dirobohkan itu.

Malahan, mereka mengengkari perintah itu, yang disifatkan sebagai "tragedi" terhadap agama Islam, dengan mengerjakan solat fardhu Asar sejurus selepas pihak berkuasa merobohkan surau itu Isnin lalu.

Pengerusi surau berkenaan, Samion Musiron, berkata 7,000 penghuni yang mendiami 13 flat lima tingkat di situ, tiada pilihan melainkan mengengkari perintah Jais kerana adalah menjadi kewajipan bagi penganut Islam mengerjakan solat lima waktu serta solat Jumaat.

Sementara itu peguam Khairuddin Osman dan imam Nasron Duki yang ditahan polis kerana mempertikaikan tindakan pihak berkuasa berhubung isu itu akan dihadap ke mahkamah pada 13 Mei.