Sultan Kedah turut memandang berat masa depan sekolah agama rakyat (SAR) berikutan keputusan kerajaan menarik balik bantuan perkapita dan menyerapkan sekolah itu ke sekolah kebangsaan.

Ketika menerima mengadap perwakilan dari beberapa kumpulan yang memperjuangkan isu SAR di Istana Anak Bukit di Alor Star pagi ini, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah juga memberi komitmen untuk mengenengahkan isu SAR ke persidangan Majlis Raja-Raja yang akan dipengerusikan baginda bulan depan.

Baginda juga berkenan menerima memorandum dari Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR (Gegar) dan Majlis Pengetua SAR Kedah yang disampaikan oleh perwakilan terbabit, kata setiausaha Persatuan Sekolah Agama Rakyat Malaysia, Mohd Suhaimi Saad.

Dengan ini, baginda merupakan Sultan yang ketiga yang bersetuju untuk merujuk perkara ini ke persidangan Majlis Raja-Raja. Sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah menyatakan baginda berdua untuk berbuat demikian.

Sementara itu, pengerusi Gegar, Mohd Azmi yang turut menghadiri pertemuan itu berkata rakyat gembira dengan kesedian baginda bertiga untuk membincangkan isu itu dengan mereka yang terbabit.

"Kami harap reaksi positif dari Raja-Raja akan membuahkan satu keputusan yang baik bagi SAR,' katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Maktab Mahmud

Sebelum itu, Mohd Suhaimi, yang turut sama dalam pertemuan itu memberitahu malaysiakini bahawa antara perkara yang timbul ialah nasib yang dialami Maktab Mahmud di Kedah yang telah kehilangan sebahagian daripada tenaga pengajarnya.

"Kami memberitahu baginda sultan bahawa guru-guru yang telah dipinjam oleh Kementerian Pendidikan itu, telah dipanggil balik manakala guru yang berkelayakan ditawarkan bertugas di sekolah kerajaan.

"Kami menegaskan jika ini boleh berlaku kepada sebuah sekolah agama negeri, seperti Maktab Mahmud di mana baginda sendiri merupakan penaungnya, apa lagi dengan sekolah agama rakyat yang lain," katanya.

Menurut Mohd Suhaimi lagi, baginda bersimpati dan berasa kecewa mendengar kesusahan yang dihadapi Maktab Mahmud dan bersetuju bahawa institusi pendidikan Islam seperti SAR perlu dipertahankan demi masa depan umat Islam.

"Baginda juga berkata isu SAR sepatutnya tidak dipolitikkan tetapi tuanku nampak itulah cara bagaimana kerajaan pusat mengendali isu tersebut," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Mohd Suhaimi, pihaknya telah memohon supaya baginda menggesa Majlis Raja-Raja mengaktifkan semula Lembaga Penasihat Penyelarasan Penagajaran dan Pendidikan Agama (Lepai) yang telah diwujudkan pada 1989 untuk memajukan SAR.

Pohon bantuan

"Kami merujuk kepada keputusan persidangan Majlis Raja-Raja ke-126 pada 1989 untuk mewujudkan Lepai yang dipengerusikan oleh Tun Mohd Zahir Ismail. Kita mahu Lepai aktif semula supaya SAR boleh terus berkembang dan bukan sebaliknya," katanya.

Turut sama dalam pertemuan hari ini ialah setiausaha Gegar Tarmizi Sulaiman; pengerusi Majlis Ulamak Malaysia (Kedah), Sheikh Abu Bakar Awang; timbalan presiden Persatuan SAR Malaysia, Wan Tarmizi Salim; Sheikh Abdul Razak Mohd Yusuf dan Datuk Sheikh Badarudin Ahmad dari Persatuan SAR Kedah; pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Mahmud, Tahir Ali; manakala Majlis Pengetua SAR diwakili oleh Abdul Manan Yahya, Mohd Fikri Abdul Mutalib dan Salleh Musa.

Sementara itu, dalam isu berkaitan, Mohd Azmi berkata beliau tidak yakin dengan janji Ketua Umno Bahagian Cenderoh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang berkata SAR boleh memohon semula bantuan perkapita dari kerajaan.

"Kenyataan beliau sukar dipercayai memandangkan perdana menteri sendiri begitu tegas untuk menutup SAR. Tambahan pula beliau (Nazri) bukanlah pembuat keputusan dalam isu ini.

"Sesiapapun boleh membuat kenyataan tentang isu ini tetapi ia tidak bermakna kata-kata mereka itu boleh dipercayai. Saya rasa beliau (Nazri) tidak pernah diberi mandat untuk membuat keputusan tentang SAR,' katanya.

Mohd Azmi juga berpendapat Nazri tidak ikhlas memperjuangkan soal SAR tetapi hanya membuat kenyataan itu untuk "kepentingan politik peribadi".

Kaji semula

"Selama ini tindakan kerajaan dan wakil kementerian pendidikan nyata menunjukkan mereka mahu menutup SAR dan kenyataan Nazri tidak mengubah apa-apa," katanya lagi.

Nazri yang juga menteri pembangunan usahawan membuat kenyataan itu ketika berdebat mengenai isu SAR dengan timbalan ketua pemuda PAS Salehuddin Ayub di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ahad lepas.

Kerajaan pusat berhenti memberi bantuan kewangan kepada SAR kerana mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan.

Gegar juga menggesa pihak kerajaan supaya mengkaji keputusannya untuk menyerapkan SAR ke sekolah kebangsaan awal bulan depan.

Kini terdapat lebih 260 SAR di negara ini, membabitkan 74,000 pelajar peringkat rendah dan menengah. Sehingga ini, kira-kira 14,000 pelajar SAR telah beralih ke sekolah kebangsaan.