Debat cuci imej 'pondan'?
Umno dan PAS akan duduk semeja buat pertama kalinya selepas lebih 20 tahun "kahwin kontraknya" di bawah label Barisan Nasional dibubarkan.
Pemimpin kedua-dua parti akan bersama dalam satu majlis debat "satu lawan satu" pada pertengahan bulan depan.
Pertemuan ini adalah saat yang dinanti-nantikan oleh semua orang Melayu di negara ini. Mereka mahu melihat kedua-dua parti bermuazakarah dan berbaik-baik, bukannya bermusuhan dan saling buruk-memburukkan antara satu sama lain.
Ketua Pemuda dua parti ini telah merintis jalan yang baik. Walaupun ia hanya perdebatan di peringkat pemimpin bawahan, namun ia akan menjadi pembuka jalan kepada pertemuan atau muzakarah yang lebih bermakna di peringkat pemimpin atasan selepas ini.
Walau Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat ( foto , kiri) menyatakan perdebatan dua pemimpin bawahan ini tidak akan membawa penyelesaian isu-isu Melayu, namun setidak-tidaknya ia akan menyedarkan dua parti itu bahawa muzakarah boleh dilakukan jika semua pihak benar-benar mempunyai kemahuan dan kesungguhan.
Syabas diucapkan kepada Datuk Hishamuddin Hussein dan Mahfuz Omar kerana sanggup mengenepikan ego masing-masing. Pastinya perdebatan atau muzakarah antara mereka berdua akan merapatkan lagi hubungan, selain meleraikan kekusutan dan kekeliruan berhubung isu perpaduan dan hak istimewa Melayu.
Debat alaf baru ini bukannya untuk mencari siapa menang atau kalah. Kalau itu matlamatnya, majlis itu nanti akan bertukar menjadi "medan pertengkaran budak-budak" untuk menonjolkan kehebatan peribadi dan memperlekahkan lawan.
Keberanian Mahfuz menjejak kaki di Tingkat 37 Manara Datuk Onn bagi menghantar sendiri surat persetujuannya untuk berdebat dengan Hishamuddin tanpa menetapkan sebarang syarat jelas menunjukkan keikhlasan beliau untuk merealisasikan perdebatan ini.
Hishamuddin ( foto , kiri) pula menyambut baik persetujuan rakan sejawatnya itu dan tidak memberikan sebarang tanda untuk mengelak daripada cabaran Mahfuz itu. Sebaliknya beliau telah memberi penjelasan kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob dan Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung alasannya mahu berdebat.
Sebelum ini Muhyiddin telah meminta majlis debat itu dibatalkan dengan alasan ia tidak mendatangkan sebarang faedah melainkan menguntungkan politik PAS.
Syarat yang bukan-bukan
Sikap gentleman Hishamuddin memberi harapan cerah kepada kita untuk melihat perdebatan ini menjadi kenyataan. Kalau pada pertengahan tahun lalu beliau mengelak daripada berdebat dengan pemimpin PAS, Keadilan dan badan bukan kerajaan (NGO) di UKM, kali ini beliau sangat berharap ia dapat dijayakan dengan sebaiknya.
"Tidak timbul soal saya mahu membuktikan sesuatu, saya mahu berdebat kerana mahu menjawab segala tohmahan dan cabaran yang dilemparkan kepada saya selama ini. Debat ini penting supaya kedua-dua parti dapat menyelesaikan isu ini demi kepentingan hak orang Melayu," jelasnya.
Ada pihak memperkecilkan kesediaan Hishamuddin dengan menuduh beliau mahu memperalatkan majlis ini untuk mencuci imej "pondan" yang diberikan oleh Mahfuz ( foto , kiri) kepadanya tahun lalu.
Diharapkan debat antara dua tokoh muda ini dapat dilaksanakan dalam suasana penuh bertamadun. Semoga tiada campur tangan daripada sesiapa untuk membatalkannya.
Kita telah menyaksikan bagaimana debat berhubung isu kafir-mengkafir antara PAS dan Umno pada pertengahan tahun 1980-an dulu dibatalkan pada saat-saat akhir atas titah Yang di-Pertuan Agong.
Pada tahun lalu, debat antara Hishamuddin dan Mahfuz berhubung isu ketuanan Melayu tidak dapat dilaksanakan kerana kedua-dua pihak berdegil menetapkan syarat-syarat yang bukan-bukan.
Diharapkan jika debat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, ia akan merintis perdebatan atau muzakarah di peringkat kepimpinan tertinggi pula - mungkin antara Nik Aziz dengan Datuk Abdul Hamid Othman atau antara Datuk Fadzil Noor dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Berdoalah kita semoga debat alaf baru antara kedua-dua tokoh tidak berakhir sebagai satu sandiwara.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih terbuka dan berkesan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.