Enam lagi surau di Bandar Baru Bangi sedang diawasi secara serius oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana dipercayai diperalatkan oleh PAS untuk kepentingan politik mereka.

Ketika mengesahkan perkara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak terbabit dalam keputusan mengenalpasti dan merobohkan surau yang dikatakan menjadi kubu kuat PAS di kawasan tersebut.

"Surau itu (Jubli Perak) hanyalah surau sementara yang dibina sebelum siapnya masjid Bandar Baru Bangi dan ianya merupakan tapak Tadika Kemas," katanya dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas tindakan Jais meroboh Surau Jubli Perak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, kerana mahu menggalakkan penduduk kawasan itu menggunakan masjid Al Hasanah yang bernilai RM 3 juta.

Sebelum itu, Mohd Khir mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri Selangor di Bangunan Pentadbiran Daerah Ulu Langat, Bandar Baru Bangi.

Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata, surau tersebut sepatutnya tidak lagi digunakan sepertimana yang telah dipersetujui sebelumnya.

Pensyarah UKM

"Tetapi masih ada segelintir penyokong PAS yang terus bersembahyang di surau tersebut dan menggunakan khutbah Jumaat untuk menyelar pemimpin (kerajaaan)," katanya.

Beliau turut menamakan bekas pengerusi surau tersebut, yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwanya telah menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan politiknya.

"Saya harap UKM akan mengambil tindakan terhadap pensyarah yang tidak amanah dalam tindakannya itu," tegas Mohd Khir.

Beliau turut mendedahkan bahawa baru-baru ini terdapat "pihak-pihak tertentu" yang memanggil semua pengerusi surau di Bandar Baru Bangi untuk menghadiri mesyuarat "yang boleh menimbulkan keraguan".

Selain itu, beliau turut menafikan wujud penglibatan politik dalam tindakan merobohkan surau Jubli Perak yang dianggapnya sebagai markas PAS kerana kerajaan negeri tidak terlibat dalam membuat keputusan itu.

Katanya, keputusan merobohkan surau Jubli Perak tersebut dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais, dan tidak melibatkan beliau.

Tadika Kemas

"Jadi ianya tidak ada unsur politik (seperti yang didakwa PAS)," katanya.

Mohd Khir berkata, kerajaan negeri sedar rumah ibadat umat Islam tidak boleh digunakan untuk kepentingah politik peribadi yang menurutnya dilakukan oleh PAS, sepertimana di Terengganu.

"Sekiranya saya mahu berbuat demikian, ada 340 masjid dan beribu surau yang boleh digunakan untuk kepentingan politik (Umno) terutamanya semasa membaca khutbah. Tetapi saya tidak melakukan perkara ini kerana tidak mahu memecahbelahkan masyarakat," katanya.

Sementara itu, tinjauan malaysiakini mendapati kerja-kerja penyediaan Tadika Kemas di bekas surau Jubli Perak telahpun bermula hari ini.

Mohd Khir, yang juga pengerusi biro agama Pergerakan Pemuda Umno, berkata beliau turut difahamkan bahawa sebuah surau baru akan didirikan berhampiran flat berkenaan.

"Sembahyanglah di masjid dulu, bukan jauh sangat pun... saya difahamkan ajaran kita (Islam) mengatakan lagi jauh berjalan (ke masjid)), lagi banyak pahala," katanya apabila disoal mengenai kewajaran surau tersebut dirobohkan sebelum didirikan yang baru.

Dirikan khemah

Penduduk di situ mendakwa masjid baru yang siap dibina pada 1999 terletak lima kilometer, dan ianya menyukarkan pelajar yang tidak mempunyai kenderaan untuk mengerjakan solat Jumaat.

Surau yang berusia 12 tahun itu telah dirobohkan dalam satu operasi bersepadu pada 10 Feb lalu yang turut melibatkan Jais, Bomba, Majlis Perbandaran Kajang, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Tenaga Nasional Berhad dan Perbadanan Urus Air Selangor.

Segala peralatan surau termasuk naskah al Quran dan surah Yassin, jam dinding, permaidani, pembesar suara dan mimbar, telah dirampas dalam operasi tersebut.

Bagaimanapun, kariah surau tersebut terus mengengkari perintah pihak berkuasa, dengan mendirikan khemah di ruang letak kereta di situ untuk mengadakan solat fardhu dan Jumaat.

Seorang imam dan peguam turut ditahan polis berhubung peristiwa merobohkan surau tersebut dan akan didakwa di mahkamah Syariah pada 13 Mei akan datang.