Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dijadualkan mengadakan pertemuan dengan wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara.

NONE Seorang Tok Batin dari Pahang, Mohamad Nohing berkata, beliau menerima jemputan Rabu lalu ke majlis tersebut di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Beliau bersama wakil masyarakat Orang Asli yang lain dibawa khas dari lokasi masing-masing oleh kenderaan yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jheoa), kata Mohamad lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menariknya, tarikh penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya kecil DUN Galas juga diumumkan Rabu lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober ini manakala pengundian pada 4 November.

NONE Mohamad Nohing berkata perjumpaan khas hari ini juga akan disusuli dengan dengan majlis pelancaran Pelan Pembangunan Induk Luar Bandar oleh perdana menteri.

Terdapat kira-kira 2,000 pengundi dari kalangan masyarakat Orang Asli dalam DUN Galas.

Sokongan mereka dilihat sangat signifikan kerana ia boleh menentukan kemenangan kepada calon PAS dan BN yang akan bertanding di situ.

PAS dilaporkan tiga menyenaraikan lima nama, termasuk dua Orang Asli, untuk dipertimbang bertanding mewakili partai itu di Galas.

Umno bahagian Gua Musang pula akan mengadakan mesyuarat khas malam ini untuk membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

Selain pemimpin masyarakat Orang Asli, majlis itu turut menghimpunkan JKKK dan JKKkP dari seluruh negara.

NONE Mengikut risalah program, ia adalah majlis pelancaran pelan induk pembangunan luar bandar, penyampaian anugerah desa cemerlang peringkat kebangsaan 2010 dan perhimpunan JKKK/JKKP bersama perdana menteri'.

Majlis juga akan disertai penyampaian anugerah desa cemerlang. Agensi terlibat ialah kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah, Felcra, Risda, Infra, MARA, Kejora dan Jheoa.

Kedah paling banyak jumlah JKKKP - 1,899 - berbanding negeri lain di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Jumlah semuanya ialah 3,187 jawatankuasa, termasuk Kelantan (765), Pulau Pinang (142) dan Selangor (381).

Jumlah JKKK di negeri bawah BN - Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak - 15,326.