Abu Seman: Urus lalu lintas tugas sampingan polis
Kementerian Dalam Negeri belum berhasrat membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan mewujudkan unit polis bantuan bagi menguruskan lalu lintas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata tugas utama Polis Diraja Malaysia termasuk polis bantuan tidak berhubung kait dengan penyelenggaraan lalu lintas tetapi lebih kepada menguatkuasa undang-undang dan menjaga keselamatan negara.
"Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 memberi kuasa kepada polis untuk menjaga undang-undang dan keselamatan negara. Trafik adalah tugas sampingan kerana tugas khusus trafik adalah di bawah kementerian lain," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) sama ada kerajaan pusat akan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk membentuk unit polis bantuan untuk menambah baik pengurusan lalu lintas.
Abu Seman berkata objektif penubuhan polis bantuan adalah untuk memberi khidmat polis di kawasan yang liputan khidmat polis tidak berkesan, selain menjadi unit sokongan atau bantuan kepada PDRM ketika diperlukan.
Beliau berkata kebenaran sebagai polis bantuan juga bagi membolehkan pengawal-pengawal keselamatan yang bekerja di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan sektor swasta mempunyai kuasa polis serta membolehkan mereka membawa senjata api semasa melaksanakan tugas di kawasan yang ditetapkan.
"Oleh yang demikian, tidak semua agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta layak memohon status polis bantuan bagi pengawal keselamatannya. Ia bergantung kepada kriteria seperti yang telah dinyatakan," katanya.
- Bernama

