Pengerusi 13 surau dan Persatuan Penduduk Bangi sebulat suara menolak pelawaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kepada penduduk di situ untuk mengerjakan solat Jumaat di surau Al Kausar, berhampiran surau Jubli Perak yang dirobohkan baru-baru ini.

Pemangku pengerusi surau Al-Umm, Dr Shafie Bakar, berkata keputusan itu telah disampaikan oleh wakil mereka kepada pihak Jais melalui sepucuk surat bertarikh 22 Feb lalu.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat yang diadakan di surau Al Kausar yang terletak satu kilometer dari surau Jubli Perak, pada malam sebelumnya (21 Feb).

Dr Shafie, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memberitahu malaysiakini , pelawaan Jais itu menunjukkan tindakan jabatan itu merobohkan surau Jubli Perak pada 10 Feb lalu adalah "tidak ikhlas" serta didalangi motif tersembunyi.

Jais, yang mendakwa pihaknya "sekadar menjalankan tugas" dalam tindakan merobohkan surau Jubli Peak yang berusia 12 tahun itu, untuk menggalakan jemaah menggunakan Masjid Al Hasanah.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan flat Jubli Perak dan kawasan sekitarnya menentang tindakan Jais tersebut kerana masjid Al Hasanah terletak jauh, kira-kira lima kilometer dari flat itu.

Sempit

"Tindakan Jais kemudiannya menawarkan kepada penduduk di situ untuk mengerjakan solat Jumaat di surau Al Kausar menunjukkan jabatan itu kini mengakui hakikat bahawa penduduk (Seksyen 4, Bandar Baru Bangi) memerlukan tempat yang sesuai untuk beribadat," kata Dr Shafie.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan surau Al Kausar sendiri tidak bersetuju kerana surau itu hanya mampu menampung 300 jemaah pada satu masa, berbanding kira-kira 1,500 di surau Jubli Perak.

"Lagi pun kebanyakan mereka yang menguruskan surau berkenaan bekerja di Kuala Lumpur dan ini menyukarkan mereka untuk menyiapkan surau tersebut untuk digunakan pada hari Jumaat," katanya.

Beliau berpendapat cara terbaik ialah bagi Jais membenarkan surau Jubli Perak terus digunakan seperti sediakala bagi solat fardhu dan Jumaat.

Dr Shafie menjelaskan surat tersebut disampai oleh lima wakil kepada pegawai Jais yang menunggu di masjid Al Hasanah untuk menemui 14 pengerusi surau di Bandar Baru Bangi bagi membincangkan tawaran tersebut.

Turut hadir ialah Kadi Kajang, Zainal Abidin Sulaiman, dan ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz.

Enggan hadir

Bagaimanapun, kesemua pengerusi surau berkenaan tidak hadir, sebaliknya menghantar wakil bagi menyerah surat berhubung keputusan menolak tawaran Jais itu.

Tindakan itu, telah menimbulkan kemarahan Jais kerana mereka enggan berkerjasama. Perkara ini dijelaskan oleh Badrul Hisham ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

"Oleh itu, Jais tetap dengan keputusannya tidak membenarkan lagi premis tersebut (bekas surau Jubli Perak) digunakan untuk tujuan beribadat," jelas Badrul Hisham.

Beliau juga menjelaskan penduduk di kawasan terlibat dikehendaki membuat permohonan sekiranya mereka mahu surau Al Kausar digunakan untuk solat Jumaat.

Ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, bahawa surau yang dikatakan kubu kuat PAS itu di dalangi "unsur militan", Badrul Hisham berkata beliau percaya Mohd Khir lebih arif mengenai perkara itu.

"Saya pasti beliau bercakap berdasarkan maklumat yang beliau ada," katanya, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam operasi mencegah solat Jumaat diadakan di surau Jubli Perak, pihak Jais menahan seorang lelaki serta merampas peralatan surau. Operasi itu disertai polis dan Majlis Perbandaran Kajang.

Lebih 400 jemaah, termasuk kira-kira 100 pelajar, terpaksa menunaikan solat Zohor kerana dihalang dari mengerjakan solat Jumaat.