Dewan Pemuda PAS pusat menyarankan supaya para mufti, selaku penasihat Raja-Raja Melayu, mengadakan perbincangan khas untuk mencari formula untuk dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja bulan depan, bagi membantu menyelesaikan isu berhubung sekolah agama rakyat (SAR).

Ketuanya, Mahfuz Omar percaya para mufti yang kebanyakan mendapat pendidikan asas di SAR, dapat membantu supaya bantuan perkapita disalurkan semula kepada sekolah-sekolah terbabit, di samping menghentikan tuduhan liar terhadap insititusi pendidikan Islam itu.

Katanya, sebagai penasihat Raja-Raja Melayu, para Mufti sepatutnya dapat membuat keputusan berasaskan ilmu dan maklumat untuk menyelesaikan isu berkenaan SAR.

Beliau berharap para mufti dapat mengadakan perbincangan itu sebelum Majlis Raja-Raja bersidang bulan depan bagi mencapai kata sepakat mengenai isu SAR.

"Ianya boleh dirujukkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum diangkatkan ke Majlis Raja-Raja," katanya selepas menyerahkan satu memorandum mengenai SAR kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Muhammad Yusuf Hussain di Kuala Lumpur semalam.

"Para Mufti harus sedar mereka mempunyai bidang kuasa untuk menasihati Raja-Raja Melayu. Mereka juga perlu tahu yang mereka tidak terikat dengan politik Umno dan Barisan Nasional (BN) dan seharusnya boleh membuat satu keputusan yang berasaskan ilmu dan maklumat bagi mengatasi masalah yang melanda SAR," katanya.

Sehingga ini, Dewan Pemuda PAS telahpun mengadakan perjumpaan dengan mufti Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang, manakala temujanji telah dibuat untuk menemui mufti Perak dan Kedah hujung minggu ini.

Isu pendidikan

"Kami menemui mufti untuk serahkan memorandum menyeru mereka untuk mengambil langkah menyelamatkan sekolah atau institusi yang telah melahirkan mereka sebagai ilmuan dan pakar dalam bidang Islam," katanya.

Ketika diminta dakwaan bahawa PAS mempolitikkan isu SAR untuk keuntungan politik, Mahfuz berkata, sehingga ini, Umno tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.

"Kita tidak pernah mempolitikkan isu SAR. Kita memperjuangkan SAR supaya ia diteruskan. Umnolah yang mempolitikkan isu pendidikan termasuk isu SAR...apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) berkata bantuan perkapita dihentikan kerana mereka (pelajar dan guru SAR) adalah golongan fanatik Melayu yang tidak menguntungkan kita," tegasnya.

Menurutnya lagi, kenyataan Dr Mahathir itu adalah antara contoh "politik padan muka" yang Umno praktikkan kepada orang Melayu yang tidak menyokongnya.

Pada 25 Okt lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan akan memberhentikan bantuan perkapita kepada SAR kerana mendapati mereka tidak mengajar agama Islam yang betul.

Tidak lama selepas itu, Kementerian Pendidikan pula menyatakan bahawa semua guru dan pelajar SAR akan diserapkan ke sekolah kebangsaan.

Sejak itu, banyak pihak termasuk Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR (Gegar) telah menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan itu dan berpendapat sistem pendidikan SAR perlu dipertahankan.