Hishammuddin tolak cabaran Mahfuz berdebat
Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishammuddin Hussein hari ini menolak cabaran rakan sejawatnya dari PAS untuk berdebat kerana menganggapnya sekadar retorik kosong yang tidak membawa sebarang manfaat.
Hishammuddin sebaliknya mencabar ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar "melakukan perkara lebih berfaedah" seperti mengadakan kempen keamanan besar-besaran demi meningkatkan martabat agama dan bangsa.
Beliau mahu Mahfuz dan PAS agar mengadakan kempen yang sama seperti Aman Malaysia yang ditunjangi Pemuda Umno "dan mengutip lebih dari 2.5 juta tandatangan serta kehadiran lebih 250,000 orang (berkumpul untuk membantah perang)."

Beliau berpendapat perdebatan merupakan satu perkara yang tidak bermanfaat dan tidak mampu membantu rakyat Iraq atau Palestin, terutamanya ketika dunia berada di ambang peperangan.
"Saya percaya Mahfuz dan rakan-rakan dalam PAS ketinggalan dalam perjuangan ini (keamanan) dan tercari-cari cara lain untuk menonjolkan diri mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan itu di Kuala Lumpur.
"Jadi, kita tidak mahu mengikut rentak mereka," tegas Hishammuddin.
Perjuangan sempit
Mengenai sambutan dingin parti-parti pembangkang sewaktu perhimpunan Aman Malaysia yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Hishammuddin berkata beliau kecewa dengan sikap mereka.
"Saya ingin memberitahu PAS dan Keadilan bahawa DAP secara rasmi menghantar 10 wakil walaupun mereka tidak melaungkan slogan agama. Di manakah suara PAS dan Keadilan kalau mereka sebenarnya memperjuangkan keadilan?.
"Ini jelas menunjukkan pemikiran dan perjuangan mereka sempit dan hanya memikirkan kepentingan politik semata-mata," tegas Hishammuddin, yang juga Menteri Belia dan Sukan.
"Sebelum terlambat, saya ingin menasihati mereka supaya menyertai kami," tambahnya.
Sebelum itu, ketika menjawab soalan pemberita sama ada Pemuda Umno bersedia menghantar "perisai manusia" ke Iraq bagi membantah serangan Amerika Syarikat ke atas negara itu, beliau berkata itu bukanlah cara yang terbaik.
Sebaliknya, Hishammuddin berkata, Pemuda Umno telah menyediakan saluran bagi rakyat negara ini menyatakan bantahan mereka terhadap perang.
"Mungkin hanya mereka yang tidak mempunyai saluran sahaja yang akan menjadi perisai manusia ataupun pengebom berani mati," katanya.
Permit polis
Sementara itu, Mahfuz ketika dihubungi berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyahut cabaran Hishammuddin bagi mengumpulkan lebih 250,000 orang dan 2.5 juta tandatangan anti-perang sekiranya mendapat permit polis untuk berbuat demikian.
"Malahan, kami juga sanggup membayar sewa bagi menggunakan Stadium Bukit Jalil," kata Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.
"Syarikat-syarikat yang mengendalikan pengangkutan awam juga tidak perlu memberikan perkhidmatan percuma kerana para penyokong boleh datang sendiri," katanya.
Selain perkhidmatan pengangkutan awam percuma untuk menghadiri perhimpunan Aman Malaysia Ahad lalu, mereka juga turut dihiburkan oleh penyanyi terkenal tempatan dan luar negara dari jam 6 petang hingga tengah malam.
Semalam, Mahfuz memberitahu malaysiakini yang beliau akan menghantar jemputan rasmi kepada Hishammuddin untuk meneruskan debat mengenai hak-hak ketuanan Melayu yang dibatalkan pada saat-saat akhir dua tahun lalu.

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.