Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur

.

Majlis dimulai dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera Umno di Dataran Putra pada pukul 8.30 pagi, diikuti dengan penyampaian ucapan dasar oleh Najib, yang juga Perdana Menteri, di Dewan Merdeka, di hadapan 4,907 perwakilan.

Satu jamuan makan malam sempena perasmian itu juga akan diadakan di Dewan Tun Razak I pada pukul 8 malam ini.

Perhimpunan Agung kali ini berlangsung selama lima hari bermula semalam dengan perasmian serentak perhimpunan agung tiga sayap Umno iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Sempena Perhimpunan Agung kali ini, satu forum antarabangsa dua hari turut diadakan bermula Isnin, yang bertajuk "Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik".

Forum yang julung-julung kali diadakan itu dihadiri lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 buah negara, 54 peserta dari Kelab Umno Luar Negara serta para penganalisis politik.

--Bernama