Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Nostalgia Umno tidak perlu diulang-ulang'
Diterbitkan:  Oct 21, 2010 9:43 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Umno tidak boleh lagi bernostalgia dengan kejayaan masa lalu tetapi menumpukan usaha dalam mencari formula baru untuk terus kekal relevan dalam landskap politik yang sedang berubah, kata Naib

Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

NONE "Saya fikir nostalgia itu tidak perlu diulang-ulang dan pendekatan dengan kaedah baru berhemah dan tatasusila yang boleh diterima," katanya dalam rancangan 'Soal Jawab' terbitan TV3 di Kuala Lumpur malam semalam.

Rancangan 45 minit itu, yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A. Talib, turut menampilkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata generasi baru yang juga bakal pengundi baru mahukan formula yang boleh berubah dan relevan dengan minda, sikap dan situasi dalam menghadapi cabaran akan datang dalam parti.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah formula baru untuk meyakinkan para anggota tentang usaha Umno dalam mempertahankan agenda Melayu sekaligus kekal relevan dalam cabaran-cabaran akan datang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pindaan kepada Perlembagaan Umno tahun lepas merupakan detik penting dalam pucuk pimpinan dalam merealisasikan transformasi politik yang disyorkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Transformasi fizikal mungkin boleh kita lakukan dengan sekelip mata dalam tempoh yang singkat tetapi transformasi minda memerlukan jangka masa tertentu supaya parti berada di atas landasan yang sebenar dan itulah merupakan kekuatan yang ada pada Umno," katanya, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Mohd Shafie berkata peruntukan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan Bajet 2011 menunjukkan usaha serius kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu Bumiputera dan Melayu khususnya.

"Ini merupakan satu tindakan yang kita lihat menjurus kepada kebenaran bahawa Umno dan pemerintah yang ada hari ini adalah parti dan pemerintah yang membela bangsa. Ini merupakan satu langkah positif, hasil pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang boleh kita lihat dan bukan sekadar ungkapan semata-mata," katanya.

Mohd Shafie berkata ini sekaligus boleh menghilangkan keraguan dan kebimbangan di kalangan parti dan rakyat terhadap transisi kepimpinan dalam parti dan kerajaan sejak beberapa tahun lepas.

Menyentuh tentang formula baru, Ahmad Zahid berkata komunikasi dengan "orang muda" menerusi laman sosial adalah antara aspek penting dalam pentadbiran Perdana Menteri yang telah membantu beliau dalam mengetahui permasalahan dan bertukar-tukar pandangan dengan rakyat.

Katanya terdapat beberapa negara yang mempunyai pemimpin muda dan berjaya mendapat sokongan kuat daripada golongan muda hasil daripada kaedah komunikasi yang dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan.

"Saya fikir pendekatan yang dibuat oleh Najib adalah perkara yang benar dan berkesan dan kami juga mengharapkan bukan sekadar beliau, tapi kami sendiri melakukannya," katanya.

Hishammuddin, berkata pindaan dalam perlembagaan Umno tahun lepas turut membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai anggota-anggota sayap yang terdiri daripada golongan muda untuk menyuarakan pandangan sekaligus berpeluang memilih pucuk pimpinan tertinggi dalam parti.

--Bernama

ADS