Menteri pusat Perlis: Dulu 2, sekarang 0
Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur
.
Majlis dimulai dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera Umno di Dataran Putra pada pukul 8.30 pagi, diikuti dengan penyampaian ucapan dasar oleh Najib, yang juga Perdana Menteri, di Dewan Merdeka, di hadapan 4,907 perwakilan.
Berikut laporan langsung:
Menteri pusat Perlis: Dulu 2, sekarang 0
6.59pm
Sementara itu, ketika diminta menggulung oleh pengerusi tetap, Wakil Perlis Azali Abas sempat menyatakan kekesalannya terhadap kepimpinan negeri itu."Dulu kita di Perlis ada dua orang menteri persekutuan. Tetapi selepas menang dalam pilihan raya umum, seorang pun tak ada," katanya tanpa menyebut secara langsung pihak yang terbabit dalam 'kemelut' Umno negeri itu.
Persidangan Umno ditangguhkan kepada jam 8.30 pagi esok.
6.55pm
Wakil Perlis Azali Abas menutup perbahasan usul ucapan dasar presiden hari pertama persidangan agung Umno dengan cerita menarik.Pertama, beliau menasihatkan Umno berubah seperti kisah seorang lelaki yang sentiasa menganggap "laksa nombor satu".
"Tetapi selepas berkahwin, apabila ditanya, lelaki itu akhirnya menjawab laksa nombor dua," katanya disambut gelak ketawa para perwakilan.
6.02pm Seorang pembahas di Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini mencabar ahli parti itu supaya melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan tidak bersikap seperti 'Pak Pandir.'
Secara berseloroh, wakil Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata gelagat 'Pak Pandir' itu boleh diperhatikan apabila mereka menjalankan tugas tanpa maklumat yang lengkap.
'Bapa DAP di sebelah sana'
4.08pm Wakil Kelantan Datuk Alwi Che Ahmad menyamakan Pakatan Rakyat dengan tentera Ahzab yang mahu menyerang kota Madinah semasa pimpinan nabi Muhammad.
Pakatan, menurutnya sebenarnya dipimpin DAP yang bapanya yang "di sebelah sana (Singapuran)" PAP yang menurutnya memperjuangkan konsep sama rata dan sama rasa.
"Kalau Melayu tidak bersatu maknananya kita sedang menuju kepada kehancuran," katanya.
'Jadilah Umno 7 kali seminggu, 3 jam sekali'
3.28pm Setelah persidangan besambung semula pada jam 2.30 tadi. Antara yang berucap, wakil Melaka meminta ahli Umno berjuang untuk parti itu 7 kali seminggu, 3 jam sehari seperti perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan.
Agenda Melayu, nasional selari
12.31pm Wakil Johor Ahmad Zahri Jamil tampil membantangkan usul bagi membahaskan ucapan dasar presiden dengan menegaskan bahawa agenda Melayu dalam apa keadaan pun tidak pernah terkeluar daripada agenda nasional.
Sambil memetik ucapan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970, Ahmad Zahri berkata, bentuk kerajaan ini diserahkan kepada Umno - mengikut kehendak dan hasrat parti Melayu itu sendiri.
12.00pm Setiausaha agung dan bendahari agung Umno selesai membentangkan laporan masing-masing.
11.30am Persidangan agung Umno berhenti rehat selama setengah jam setelah Najib menamatkan ucapannya sebentar tadi.
Persidangan dijadual bersambung semula pada jam 12.00 tengah hari dengan perbahasan ucapan dasar presiden.
Polemik hak istimewa cuma perdebatan akademik
11.10am Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata, polemik berhubung isu kerakyatan selepas merdeka dan hak istimewa orang Melayu sudah menjadi perdebatan akademik kerana ia sudah terpateri kemas.
"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-raja Melayu," katanya.
11.03am: Golongan yang bermain api permusuhan tidak layak digelar pemimpin, awas dengan saudagar mimpi yang menjadi petualang, kata Najib.
10.00am Najib menyampaikan ucapannya berjudul "Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran".

